SURAT PAULUS YANG KEDUA
KEPADA
TIMOTIUS
Kata Pengantar
Sebahagian besar daripada Surat Paulus yang Kedua kepada Timotius mengandungi nasihat peribadi untuk Timotius sebagai rakan sekerja dan penolong yang masih muda. Tema utamanya ketabahan hati. Timotius dinasihati dan digalakkan supaya tetap setia memberikan kesaksian tentang Yesus Kristus, serta berpegang kepada ajaran benar daripada Berita Baik dan Perjanjian Lama. Dia harus menjalankan tugas sebagai guru dan mengisytiharkan Berita Baik, walaupun menghadapi penderitaan dan tentangan.
Timotius terutama sekali diperingatkan supaya tidak terlibat dalam perdebatan yang tidak mendatangkan faedah. Perkara itu hanya merosakkan fikiran orang yang mendengarnya.
Paulus menggunakan kehidupannya sendiri sebagai contoh bagi Timotius - iaitu imannya, kesabarannya, kasihnya, ketabahannya, dan penderitaannya semasa mengalami penganiayaan.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-2
Pujian dan Galakan 1.3—2.13
Nasihat dan Amaran 2.14—4.5
Keadaan Paulus 4.6-18
Penutup 4.19-22
1
Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah, dan yang diutus untuk mengisytiharkan hidup yang dijanjikan oleh Allah. Hidup itu kita terima kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Aku menulis surat ini untuk Timotius, anakku yang aku kasihi.
Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat, dan kesejahteraan. +
Paulus Menggalakkan Timotius
Aku bersyukur kepada Allah yang aku sembah dengan hati nurani yang murni, seperti yang dilakukan nenek moyangku dahulu. Semasa berdoa, aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan engkau, baik siang mahupun malam. Aku ingat akan tangisanmu dan aku ingin sekali berjumpa dengan engkau supaya aku benar-benar gembira. Aku teringat akan imanmu yang sungguh-sungguh itu, seperti iman nenekmu Lois dan ibumu Eunike. Aku yakin bahawa engkau pun memiliki iman itu. + Itulah sebabnya aku mengingatkan engkau supaya sentiasa menggunakan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada waktu aku meletakkan tanganku pada kepalamu. Roh yang diberikan oleh Allah kepada kita tidak menjadikan kita penakut, sebaliknya Roh Allah melengkapi kita dengan kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri.
Oleh itu, janganlah malu memberikan kesaksian tentang Tuhan kita dan juga janganlah malu akan aku, yang dipenjarakan kerana Kristus. Sebaliknya, hendaklah engkau dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, turut menderita untuk Berita Baik itu. Allah menyelamatkan dan memanggil kita menjadi umat-Nya sendiri, bukan kerana apa yang sudah kita lakukan, tetapi kerana tujuan-Nya dan rahmat-Nya sendiri. Dia memberikan kita rahmat-Nya melalui Kristus Yesus sebelum dunia ini diciptakan. 10 Tetapi sekarang rahmat-Nya telah dinyatakan kepada kita dengan kedatangan Penyelamat kita, Kristus Yesus. Yesus sudah mengalahkan kuasa kematian dan membawa hidup yang kekal melalui Berita Baik itu.
11 Allah sudah melantik aku menjadi rasul dan guru untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. + 12 Itulah sebabnya aku menderita semua ini. Tetapi aku tetap yakin, kerana aku mengenal siapa yang aku percayai. Aku yakin bahawa Dia berkuasa menjaga apa yang telah dipercayakan-Nya kepadakua sehingga Hari Kiamat. 13 Ikutilah ajaran benar yang telah aku ajarkan kepadamu. Hendaklah engkau tetap berpegang kepada iman dan kasih yang menjadi milik kita kerana bersatu dengan Kristus Yesus. 14 Dengan kuasa Roh AllahA yang hidup di dalam kita, jagalah Berita Baik yang telah dipercayakan kepadamu, seperti engkau menjaga harta yang berharga.
15 Engkau tahu bahawa semua orang di wilayah Asia telah meninggalkan aku, termasuk Figelus dan Hermogenes. 16 Semoga Tuhan mengasihani keluarga Onesiforus, kerana Onesiforus sering menggembirakan hatiku. Meskipun aku dipenjarakan, dia tidak malu dengan keadaanku. 17 Setibanya di Roma, dia mula mencari aku sehingga bertemu dengan aku. 18 Semoga Tuhan mengasihani dia pada Hari Kiamat. Engkau pun tahu bahawa dia sangat menolong aku di Efesus.
+ 1:2 Kis 16.1 + 1:5 Kis 16.1 + 1:11 1 Tim 2.7 a 1:12 apa yang telah dipercayakan-Nya kepadaku; atau apa yang telah aku percayakan kepada-Nya. A 1:14 Roh Allah; Harfiah: Roh Kudus.