7
Pembicaraan Stefanus
1 Kemudian imam besar bertanya kepada Stefanus, ‘Benarkah segala tuduhan ini?’ 2 Stefanus menjawab, ‘Bapa-bapa dan saudara-saudara! Dengarlah: Sebelum moyang kita Ibrahim berpindah ke Haran, Allah Yang Maha Tinggi telah menampakkan diri kepadanya di Mesopotamia. 3 Allah berfirman kepadanya, “Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.”
4 ‘Ibrahim pun terus meninggalkan negeri Kasdim dan tinggal di Haran. Setelah bapa Ibrahim meninggal dunia, Allah memindahkan pula Ibrahim ke negeri tempat saudara-saudara dan bapa-bapa tinggal sekarang ini. 5 Ketika itu Allah tidak memberikan warisan apapun kepada Ibrahim sebagai miliknya, secebis tanah pun tidak. Namun begitu, Allah berjanji akan mengurniakan tanah ini kepada Ibrahim sebagai miliknya dan milik keturunannya, walaupun pada masa itu Ibrahim tidak mempunyai anak. 6 Namun Allah berfirman kepadanya bahawa keturunannya akan tinggal di negeri orang, dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun. 7 “Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka,” Allah berfirman. “Kemudian mereka akan keluar dari negeri itu dan menyembah-Ku di sini.” 8 Kemudian Allah membuat perjanjian sunat dengan Ibrahim; maka Ibrahim mendapat anak lelaki bernama Ishak dan menyunatkannya pada hari kelapan; Ishak mendapat Yakub dan Yakub mendapat dua belas orang anak lelaki yang menjadi nenek moyang bangsa kita.
9 ‘Nenek moyang bangsa kita itu menaruh hasad dengki terhadap Yusuf lalu menjualnya sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertainya 10 dan menyelamatkannya daripada segala kesusahannya. Apabila Yusuf mengadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniainya budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir melantiknya menjadi gabenor yang berkuasa ke atas seluruh negeri itu dan istananya.
11 ‘Kemudian seluruh Mesir dan Kanaan dilanda kebuluran, dan nenek moyang kita tidak dapat mencari makanan. 12 Apabila Yakub mendengar bahawa di Mesir ada gandum, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke situ bagi kali pertama. 13 Ketika mereka ke sana bagi kali kedua, Yusuf diperkenalkan kepada saudara-saudaranya itu dan keluarga Yusuf diketahui oleh Firaun. 14 Lalu Yusuf mengirim khabar dan meminta bapanya, Yakub, serta seluruh keluarganya berpindah ke Mesir; tujuh puluh lima orang semuanya. 15 Yakub sekeluarga pun berpindah ke Mesir. Di situlah dia dan nenek moyang kita meninggal dunia. 16 Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikebumikan di kuburan yang telah dibeli oleh Ibrahim dengan sejumlah wang daripada suku Hamor, bapa Sikhem.
17 ‘Apabila masa bagi Allah menunaikan janji-Nya kepada Ibrahim semakin hampir, bilangan bangsa kita di Mesir telah meningkat banyak sekali. 18 Kemudian seorang raja lain yang tidak kenal akan Yusuf naik takhta kerajaan Mesir. 19 Raja itu memperdaya bangsa kita dan menindas nenek moyang kita, dengan memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir dan membiarkannya mati.
20 ‘Pada masa itulah Musa dilahirkan, seorang bayi yang elok di mata Allah. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan. 21 Apabila dia terpaksa dibuang, puteri Raja Mesir mengambilnya dan memeliharanya sebagai anak sendiri. 22 Musa menjadi arif dalam segala ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan orang Mesir dan menjadi seorang yang sangat handal, baik dari segi perkataan mahupun perbuatan.
23 ‘Sewaktu Musa berusia empat puluh tahun, hatinya tergerak hendak mengunjungi saudara-saudaranya bani Israel. 24 Dia terpandang salah seorang daripada mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia pun membela orang yang dianiaya itu dan membunuh orang Mesir itu; 25 kerana Musa menyangka saudara-saudara sebangsanya mengerti bahawa Allah akan membebaskan mereka melaluinya, tetapi mereka tidak mengerti. 26 Esoknya, dia terlihat pula dua orang Israel sedang bergaduh lalu cuba mendamaikan mereka, katanya, “Kamu bersaudara. Mengapa kamu saling menganiaya?”
27 ‘Tetapi orang yang menganiaya saudara sebangsanya itu menolak Musa ke tepi sambil bertanya, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami? 28 Adakah kamu ingin membunuhku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?” 29 Ketika Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu menetap di negeri Midian. Di situ dia mendapat dua orang anak lelaki.
30 ‘Empat puluh tahun kemudian, malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam api belukar yang bernyala, di tanah gurun dekat Gunung Sinai. 31 Musa kehairanan melihatnya lalu menghampirinya. Dia mendengar suara Tuhan berfirman, 32 “Akulah Tuhan nenek moyangmu; Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.” Musa gementar ketakutan dan tidak berani memandang lagi.
33 ‘Tuhan berfirman seterusnya, “Tanggalkan kasutmu, kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci. 34 Aku telah melihat penindasan umat-Ku di Mesir. Aku telah mendengar rintihan mereka, dan telah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutusmu ke Mesir.”
35 ‘Musa inilah yang telah ditolak oleh umat Israel dengan kata-kata, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?” Justeru dialah yang diutus Allah sebagai pemerintah dan pembebas, melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya di belukar itu. 36 Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir setelah melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah dan kemudian di tanah gurun selama empat puluh tahun.
37 ‘Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, “Allah akan mengutus seorang Nabi kepadamu, sebagaimana Dia telah mengutusku dari kalangan bangsamu.” 38 Musa inilah yang bersama bangsa Israel berhimpun di tanah gurun. Dia di sana berserta nenek moyang kita dan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Dialah yang menerima firman hidup, untuk disampaikan kepada kita.
39 ‘Tetapi nenek moyang kita enggan taat kepadanya. Mereka menolaknya dan dalam hati mereka berpaling semula ke Mesir. 40 Mereka berkata kepada Harun, “Buatkan kami patung pujaan yang dapat memimpin kami, kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir.” 41 Setelah itu mereka membuat berhala berbentuk anak lembu dan mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka bersuka ria meraikan buatan tangan mereka sendiri. 42 Oleh itu Allah berpaling daripada mereka dan membiarkan mereka menyembah segala yang di langit. Demikianlah yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi:
‘ “Adakah kamu mempersembahkan kepada-Ku
binatang sembelihan dan korban
selama empat puluh tahun di tanah gurun, hai orang Israel?
43 Malah kamu mengusung khemah Molokh
dan bintang berhalamu Refan,
patung-patung yang kamu buat untuk kamu sembah;
maka Aku akan membuangmu
jauh ke seberang Babel.”
44 ‘Nenek moyang kita mempunyai Khemah Kesaksian di tanah gurun. Khemah ini dibuat sebagaimana yang diperintahkan kepada Musa menurut contoh yang telah dilihatnya. 45 Nenek moyang kita, setelah menerimanya, bersama Yusak telah membawanya masuk ke negeri kita yang dikuasai oleh bangsa-bangsa asing. Allah telah mengusir bangsa-bangsa asing itu di hadapan mereka, dan khemah itu tetap di tanah tersebut hingga zaman Daud. 46 Daud mendapat keredaan Allah dan memohon izin-Nya untuk membina sebuah rumah untuk Tuhan yang disembah oleh Yakub. 47 Tetapi Sulaiman yang membina rumah untuk-Nya.
48 ‘Namun, Tuhan Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan tangan manusia, seperti kata nabi:
49 ‘ “Syurga arasy-Ku,
dan bumi alas kaki-Ku.
Rumah apakah yang hendak
kamu bina untuk-Ku,
dan dimanakah tempat
rehat-Ku?” firman Tuhan.
50 ‘ “Bukankah Aku sendiri yang telah mencipta semuanya?”
51 ‘Hai yang keras kepala dan tidak bersunat hati dan telingamu! Kamu sentiasa melawan Roh Suci sebagaimana yang dilakukan oleh nenek moyangmu. 52 Nabi manakah yang tidak dianiaya oleh nenek moyangmu? Mereka membunuh nabi-nabi yang telah menubuatkan kedatangan Yang Benar itu, yang kamu khianati dan bunuh. 53 Kamu telah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat, tetapi kamu tidak mematuhinya.’
Stefanus direjam
54 Apabila mendengar kata-kata ini, mereka tersangat sakit hati dan berang terhadap Stefanus. 55 Akan tetapi dia dipenuhi Roh Suci lalu merenung ke langit dan melihat kemuliaan Allah serta Isa berdiri di sebelah kanan Allah. 56 Dia berkata, ‘Lihatlah! Aku nampak syurga terbuka dan Putera Insan berdiri di sebelah kanan Allah!’
57 Mereka pun bertempik sambil menutup telinga lalu menyerang Stefanus serentak. 58 Mereka menyeret dia ke luar kota lalu merejamnya. Orang yang menyaksikan segalanya itu meletakkan jubah mereka di kaki seorang muda bernama Saul.
59 Ketika mereka merejam Stefanus, dia berseru, ‘Junjungan Isa, terimalah rohku.’ 60 Kemudian dia berlutut dan berteriak dengan suara yang kuat, ‘Junjungan, jangan tanggungkan dosa ini atas mereka.’ Setelah berkata demikian, dia pun meninggal dunia.