13
Paulus dan Barnabas dihantar kepada bangsa asing
Di antara jemaah di Antiokhia ada beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang bergelar Niger, Lukius dari Kirene, Menahem, yang dibesarkan bersama raja Herodes, dan Saul. Sedang mereka beribadat dan berpuasa, Roh Suci berkata kepada mereka, ‘Khaskan Barnabas dan Saul untuk-Ku, bagi melaksanakan tugas yang telah Kutetapkan untuk mereka.’ Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saul lalu melepaskan mereka pergi.
Di Siprus
Barnabas dan Saul diutus ke Seleukia oleh Roh Suci. Dari situ mereka belayar ke pulau Siprus. Apabila sampai di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di saumaah-saumaah, dibantu oleh Yahya.
Mereka pergi ke serata pulau itu hingga sampai di Pafos. Di situ mereka bertemu dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yusha, seorang nabi palsu Yahudi. Dia berkawan baik dengan Sergius Paulus, pemerintah pulau itu, seorang yang bijaksana. Sergius Paulus memanggil Barnabas dan Saul kerana ingin mendengar firman Allah. Akan tetapi Elimas ahli sihir itu (ini namanya dalam bahasa Yunani) cuba menghalang pemerintah itu daripada percaya kepada Isa. Saul, yang juga disebut Paulus, dipenuhi oleh Roh Suci lalu merenung ahli sihir itu dan 10 berkata, ‘Hai kamu anak Iblis, seteru segala yang benar, kamu yang penuh dengan tipu daya! Tiadakah kamu mahu berhenti memesongkan jalan Tuhan yang betul? 11 Tuhan akan menghukum kamu pada saat ini juga. Kamu akan buta, tidak dapat melihat cahaya matahari buat beberapa waktu.’
Dalam sekelip mata Elimas merasa kabus gelap menyelaputi matanya. Dia pun berjalan teraba-raba mencari orang yang dapat memimpinnya. 12 Apabila pemerintah itu melihat apa yang terjadi, dia pun mempercayai Isa dan amat kagum akan pengajaran Tuhan.
Di Pisidia
13 Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di tanah Pamfilia. Dari situ Yahya meninggalkan mereka lalu pulang ke Baitulmaqdis. 14 Yang lain meneruskan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ. 15 Selepas pembacaan Taurat Musa dan Surah Nabi-nabi, ketua-ketua saumaah itu menghantar orang berkata kepada kedua-dua rasul itu, ‘Saudara-saudara, sekiranya ada sesuatu nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah sampaikan.’
16 Paulus bangkit, memberikan isyarat lalu berkata, ‘Saudara-saudara orang Israel dan sekalian yang taat kepada Allah, dengarlah! 17 Allah, Tuhan umat Israel, telah memilih nenek moyang kita untuk dijadikan bangsa besar, ketika mereka tinggal menumpang di Mesir. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya. 18 Selama empat puluh tahun di gurun, Dia bersabar dengan kelakuan mereka. 19 Dia membinasakan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan kawasan itu kepunyaan umat-Nya. 20 Segala ini berlaku selama 450 tahun.
‘Selepas itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sampai ke zaman Nabi Samuel. 21 Kemudian mereka memohonkan seorang Raja lalu Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin sebagai raja mereka selama empat puluh tahun. 22 Setelah Allah memecatnya daripada takhtanya, Allah memberi mereka Daud pula sebagai raja. Allah berfirman tentang Daud, “Aku mendapati Daud, anak Isai, seorang yang menyenangkan hati-Ku; dia akan melakukan segala yang Kuingini.”
23 ‘Dari keturunan Daud inilah Allah membangkitkan Isa, seorang Penyelamat bagi umat Israel sebagaimana telah dijanjikan-Nya. 24 Sebelum Isa memulakan tugas-Nya, Yahya menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa dan diimadkan. 25 Ketika tugas Yahya hampir selesai, dia berkata kepada orang ramai, “Siapakah aku ini pada sangkaanmu? Aku bukanlah Dia yang kamu nanti-nantikan itu. Dia akan datang kemudian, dan aku ini tidak layak membuka kasut-Nya pun.”
26 ‘Hai saudara-saudara keturunan Ibrahim, dan semua yang takut akan Allah! Kepada kitalah Allah telah menyampaikan berita penyelamatan itu. 27 Penduduk Baitulmaqdis dan ketua-ketua mereka tidak sedar bahawa Penyelamat itu ialah Isa. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, maka mereka menghukum Isa. Dengan tindakan mereka itu, segala yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi menjadi kenyataan. 28 Walaupun mereka tidak ada apa-apa asas untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada Isa, mereka mendesak Pilatus menjatuhkan hukuman itu ke atas-Nya. 29 Setelah mereka melakukan segala yang tersurat di dalam Kitab Suci tentang-Nya, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam makam. 30 Akan tetapi Allah membangkitkan-Nya daripada kematian. 31 Selepas itu selama beberapa hari Dia menampakkan diri-Nya kepada mereka yang dahulu mengiringi-Nya dalam perjalanan dari Galilea ke Baitulmaqdis. Kini mereka itu menjadi saksi bagi-Nya kepada umat Israel.
32 ‘Dengan demikian kami datang ke sini untuk menyampaikan berita baik ini kepada kamu. 33 Allah telah melaksanakan untuk kita apa yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita, dengan membangkitkan Isa daripada kematian, sebagaimana yang tersurat di dalam Zabur bab dua:
 
‘ “Engkaulah Putera-Ku;
pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.”
 
34 Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi. Tentang ini Allah berfirman:
 
‘ “Aku akan memberkati-Mu
dengan berkat yang suci,
sebagaimana telah Kujanjikan
kepada Daud.”
 
35 Dalam suatu ayat lagi firman-Nya:
‘ “Engkau tidak akan membiarkan
Hamba-Mu yang setia itu reput di
dalam kubur.”
 
36 ‘Daud melakukan suruhan Allah ketika dia hidup. Apabila dia wafat dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya dan jasadnya reput. 37 Namun, ini tidak terjadi kepada Dia yang dibangkitkan Allah daripada kematian.
38 ‘Oleh itu, ketahuilah saudara-saudara, melalui Isa berita pengampunan dosa disampaikan kepada saudara sekalian. 39 Setiap orang yang percaya kepada-Nya diampunkan segala dosanya yang tidak dapat diampunkan melalui Taurat Musa. 40 Berhati-hatilah, supaya apa yang telah disebutkan oleh nabi-nabi tidak menimpa saudara sekalian:
 
41 ‘ “Dengarlah hai orang yang
menghina Allah!
Kamu akan terkejut dan punah!
Apa yang Kulakukan kini
tidak akan kamu percayai,
walaupun diterangkan kepadamu!” ’
 
42 Apabila Paulus dan Barnabas hendak meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang lagi pada hari Sabat berikutnya untuk meneruskan penerangan mereka tentang hal-hal tersebut. 43 Setelah bersurai perhimpunan di rumah ibadat itu, ramai orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang telah memeluk agama Yahudi mengikut Paulus dan Barnabas. Kedua-dua rasul itu menasihati mereka supaya sentiasa hidup berpegang teguh kepada kasih kurnia Allah.
44 Pada hari Sabat berikutnya, hampir seluruh penduduk kota itu berhimpun mendengar firman Allah. 45 Setelah dilihat oleh orang Yahudi betapa ramainya orang datang itu, timbullah hasad dengki dalam hati mereka lalu mereka membangkang kata-kata Paulus serta mencelanya.
46 Namun demikian, Paulus dan Barnabas bercakap dengan berani. Mereka berkata, ‘Memang seharusnya firman Allah disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Akan tetapi disebabkan kamu menolak firman-Nya dan menganggap dirimu tidak layak menerima hidup kekal, kami berpaling daripadamu dan pergi kepada bangsa asing. 47 Inilah perintah Tuhan kepada kami:
 
‘ “Aku telah menetapkan bahawa
kamu menjadi cahaya kepada semua bangsa asing,
dan melalui-Mu Allah akan menyelamatkan
seluruh dunia.” ’
 
48 Orang bangsa asing bersukacita dan memuji firman Allah setelah mendengar kata-kata itu. Mereka yang dipilih Allah untuk menerima hidup kekal pun percayalah kepada Isa.
49 Firman Tuhan tersebar di serata daerah itu. 50 Orang Yahudi menghasut orang yang berkuasa di kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas lalu mengusir kedua-duanya dari daerah tersebut. 51 Rasul-rasul itu pun mengebaskan debu dari kaki mereka sebagai bantahan terhadap orang di situ lalu pergi ke Ikonium. 52 Bagaimanapun, para pengikut Isa amat bergembira dan dipenuhi Roh Suci.