22
Paulus membela diri di Baitulmaqdis
‘Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.’
Setelah mereka mendengar Paulus bertutur dalam bahasa Ibrani, mereka terus senyap.
Paulus berkata, ‘Aku ini orang Yahudi, dilahirkan di Tarsus di tanah Kilikia, tetapi dibesarkan di kota ini, berguru kepada Gamaliel. Aku diajar hukum nenek moyang kita dengan betul, dan aku pula tekun beribadat kepada Allah, sama seperti saudara-saudara sekalian pada hari ini. Aku pernah menganiaya pengikut Jalan Tuhan malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan. Imam besar dan seluruh anggota Majlis Agama boleh bersaksi akan perbuatanku itu. Aku telah mendapatkan beberapa surat daripada mereka lalu pergi ke Damsyik untuk menangkap dan mengikat para pengikut Isa di sana dan membawa mereka ke Baitulmaqdis ini untuk diseksa.
‘Dalam perjalanan, ketika hampir sampai di Damsyik, sekitar tengah hari, tiba-tiba suatu cahaya yang besar bersinar dari langit mengelilingiku. Aku rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadaku, “Saul, Saul, mengapa engkau aniayakan Aku?”
‘Aku berkata, “Siapakah Engkau, Tuan?”
‘Jawab-Nya, “Akulah Isa orang Nasaret yang kauaniayakan.” Semua orang yang bersamaku turut melihat cahaya itu tetapi tidak mendengar suara yang berkata-kata denganku itu.
10 ‘Aku berkata, “Tuan, apakah yang harus kulakukan?”
‘Dia menjawab, “Bangunlah, pergi ke Damsyik. Di sana engkau akan diberitahu segala yang sudah ditetapkan untukmu melakukannya.” 11 Aku tidak dapat melihat langsung akibat cahaya yang terang itu. Teman seperjalananku memimpin tanganku masuk ke Damsyik.
12 ‘Ada seorang bernama Ananias yang kuat beribadat menurut hukum Taurat. Dia dipandang tinggi oleh orang Yahudi di Damsyik. 13 Dia datang berdiri di sisiku lalu berkata, “Saudaraku Saul, kamu dapat melihat semula!” Pada saat itu juga aku dapat melihat semula lalu memandangnya.
14 ‘Dia berkata, “Allah, Tuhan nenek moyang kita, telah menetapkan bahawa kamu akan mengetahui kehendak-Nya, dan melihat Isa serta mendengar suara-Nya. 15 Kamu akan menjadi saksi tentang-Nya kepada semua manusia, termasuk segala yang telah kamu lihat dan dengar itu. 16 Sekarang mengapa kamu berlengah-lengah lagi? Bangunlah untuk diimadkan dan minta dihapuskan segala dosamu sambil menyeru nama-Nya.”
17 ‘Setelah aku pulang ke Baitulmaqdis, sedang aku berdoa di rumah ibadat, aku terlalai 18 lalu melihat Dia dan mendengar kata-kata-Nya kepadaku, “Segeralah keluar dari Baitulmaqdis, kerana mereka tidak akan menerima kesaksian daripadamu tentang-Ku.”
19 ‘Aku berkata, “Ya Junjungan, mereka tahu bahawa aku pernah memenjarakan dan memukul orang yang mempercayai-Mu dalam semua saumaah; 20 dan apabila darah Stefanus saksi-Mu itu ditumpahkan, aku turut berdiri berdekatan dan menyetujui pembunuhan itu, serta menjaga pakaian orang yang membunuhnya.”
21 ‘Kata-Nya kepadaku, “Keluarlah dari sini, kerana Aku hendak mengutusmu jauh-jauh kepada orang bangsa asing.” ’
Paulus warganegara Rom
22 Orang ramai mendengar ucapan Paulus setakat itu, kemudian berseru lantang, ‘Hapuskan orang begini dari muka bumi, tidak patut dia dibiarkan hidup!’
23 Mereka berteriak-teriak sambil mengebas-ngebas pakaian sehingga debu berterbangan. 24 Ketua pasukan tentera itu menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia mengarahkan mereka menyebat dan menyoalnya untuk mengetahui mengapa orang ramai berseru-seru demikian tentangnya. 25 Paulus diikat dengan tali kulit lalu dia berkata kepada ketua tentera yang berdiri di situ, ‘Jikalau seorang warganegara Rom belum diadili dan didapati bersalah, berkuasakah kamu menyebatnya?’
26 Apabila ketua tentera itu mendengar kata-kata Paulus, dia pergi memberitahu ketuanya tentang perkara itu. Katanya, ‘Apa kamu hendak buat? Orang ini warganegara Rom.’
27 Ketua pasukan tentera itu mendapatkan Paulus lalu berkata, ‘Katakanlah kepadaku, adakah engkau ini warganegara Rom?’
Paulus menjawab, ‘Ya.’
28 Ketua pasukan tentera itu berkata, ‘Aku dapat menjadi warganegara dengan bayaran yang tinggi.’
Paulus menjawab, ‘Tetapi aku dilahirkan sebagai warganegara Rom.’
29 Semua orang yang hendak menyoalnya itu berundur, dan ketua pasukan tentera itu ketakutan kerana telah mengikat warganegara Rom.
Paulus di hadapan Majlis Agama
30 Esoknya, untuk mengetahui dengan pasti apa sebabnya Paulus dituduh oleh orang Yahudi, ketua tentera itu meminta imam besar dan semua ahli Majlis Agama berhimpun. Kemudian dia melepaskan Paulus daripada ikatan dan menghadapkannya kepada perhimpunan itu.