26
Paulus membela diri di hadapan Agripa
1 Setelah itu Agripa berkata kepada Paulus, ‘Sekarang kamu diberi izin untuk membela dirimu.’
Paulus pun memberikan isyarat dengan tangannya lalu membela dirinya demikian, 2 ‘Tuanku Raja Agripa, aku berasa bahagia kerana dapat menjawab tuduhan orang Yahudi ke atasku di hadapan kamu pada hari ini; 3 lebih-lebih lagi kerana kamu memahami adat dan perselisihan yang berlaku di kalangan orang Yahudi. Oleh itu aku memohon kamu mendengarku dengan sabar.
4 ‘Semua orang Yahudi telah maklum tentang diriku dari muda lagi, ketika di negeriku dan kemudiannya di Baitulmaqdis. 5 Dari mulanya mereka telah mengenaliku, kalaulah mereka mahu bersaksi. Mereka tahu bahawa aku menurut ajaran yang paling keras dalam agama kami kerana aku orang Farisi. 6 Sekarang pun aku berdiri di sini dan didakwa kerana aku berharap akan janji Allah kepada nenek moyang kami. 7 Dua belas suku bangsa kami tekun menyembah Allah siang malam dan berharap akan janji itu juga. Oleh sebab harapan inilah, aku dituduh oleh orang Yahudi. 8 Jika benar Allah membangkitkan orang daripada kematian, mengapakah pada hematmu hal itu tidak dapat dipercayai orang?
9 ‘Satu masa dulu, pada perasaan hatiku, wajar sekali aku mengambil pelbagai tindakan terhadap pengikut Isa orang Nasaret itu; 10 dan aku sudahpun berbuat demikian di Baitulmaqdis. Setelah mendapatkan kuasa daripada ketua-ketua imam, aku telah memenjarakan ramai orang yang salih; dan apabila mereka dibunuh, aku menyetujui pembunuhan itu. 11 Kerapkali di saumaah-saumaah aku menyeksa mereka dalam usaha memaksa mereka berpaling daripada Isa; dan oleh sebab terlalu berang terhadap mereka, aku memburu mereka hingga ke negeri asing.
12 ‘Pada suatu hari sedang aku dalam perjalanan ke Damsyik, dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam, 13 pada waktu tengah hari, aku melihat di tengah jalan suatu cahaya datang dari langit, lebih terang daripada sinar matahari, bersinar mengelilingiku dan semua orang yang berjalan bersamaku. 14 Aku rebah ke bumi, lalu aku mendengar suatu suara berkata dalam bahasa Ibrani kepadaku, “Saul, Saul, mengapakah engkau menganiaya Aku? Sukarlah bagimu, seperti menendang sesuatu yang tajam.”
15 ‘Aku bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?”
‘Dia menjawab, “Akulah Isa yang kauaniayakan. 16 Tetapi bangunlah, berdirilah. Aku menampakkan diri kepadamu untuk memberitahumu bahawa engkau akan membuat kerja-Ku, dan bersaksi tentang engkau melihat-Ku ini, dan tentang apa yang akan Kutunjukkan lagi kepadamu. 17 Aku akan menyelamatkanmu daripada orang Yahudi dan bangsa lain juga. Aku akan mengutusmu kepada mereka, 18 untuk mencelikkan mata mereka dan membawa mereka daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kuasa Iblis kepada kuasa Allah. Dengan demikian dosa mereka akan diampunkan dan mereka akan menjadi umat yang dipilih oleh Allah kerana mereka percaya akan Aku.”
19 ‘Oleh itu, Tuanku Raja Agripa, aku dengan sepenuh rela menurut perintah dari penglihatan yang datang dari syurga itu. 20 Aku telah menyampaikan kepada semua orang Damsyik, Baitulmaqdis dan seluruh tanah Yudea, juga kepada orang bangsa asing, bahawa mereka hendaklah bertaubat dan berpaling kepada Allah serta berkelakuan selaras dengan pertaubatan itu. 21 Itulah sebabnya orang Yahudi menangkapku di dalam rumah ibadat, serta mencari jalan hendak membunuhku. 22 Tetapi hingga saat ini Allah telah menolongku dan aku berdiri di sini sambil bersaksi kepada orang besar dan orang biasa, dengan mengatakan perkara yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi dan oleh Musa: 23 iaitu al-Masih pasti mengalami kematian dan menjadi orang yang pertama bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bangsa lain, penyelamatan yang seperti cahaya bagi semua.’
24 Sedang Paulus menegakkan pembelaannya demikian, Festus berkata dengan suara nyaring, ‘Kamu gila, Paulus; ilmu yang terlalu banyak menjadikan kamu gila.’
25 Paulus menjawab, ‘Aku bukannya gila, Festus yang mulia. Aku mengatakan perkara yang benar dan bijaksana. 26 Tuanku Raja Agripa, aku berani berkata-kata di hadapanmu dengan bebas kerana aku tahu di dalam hati bahawa kamu faham akan perkara-perkara ini, memandangkan segalanya tidaklah berlaku di tempat yang tersembunyi. 27 Tuanku Raja Agripa, percayakah kamu akan kata nabi-nabi itu? Aku tahu bahawa kamu percaya.’
28 Agripa berkata kepada Paulus, ‘Dengan sepatah dua katamu, kausangka dapat menjadikanku orang Masihi?’
29 Paulus menjawab, ‘Sepatah dua atau banyak, aku berdoa kepada Allah, mudah-mudahan kamu dan sekalian yang mendengar kata-kataku hari ini akan menjadi sama sepertiku, cuma tidak diikat dengan rantai.’
30 Raja Agripa, Festus pemerintah Kaisarea, Bernike dan semua yang bersama mereka, 31 berangkat keluar dari mahkamah sambil berbincang. Seorang daripada mereka berkata, ‘Orang itu tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan dia patut dibunuh atau dipenjara.’
32 Agripa berkata kepada Festus, ‘Orang ini boleh dibebaskan, kalau tidak kerana dia hendak mengadukan halnya kepada Kaisar.’