8
Makanan yang dipersembahkan kepada berhala
Sekarang tentang soal makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa kita semua mempunyai ilmu pengetahuan. Tetapi ilmu pengetahuan boleh membuat orang angkuh manakala kasih membina hidup. Seseorang yang menyangka dirinya serba tahu, sebenarnya tidak mengetahui apa yang patut diketahui. Tetapi seseorang yang mengasihi Allah, dikenal oleh Allah.
Tentang makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa berhala menggambarkan sesuatu yang tidak ada. Kita tahu bahawa Allah itu Esa, tiada tuhan selain Allah. Walaupun ramai yang dipanggil dewa dan junjungan, di syurga dan di bumi, namun bagi kita Allah adalah Esa, Bapa yang mencipta segala-galanya, dan untuk Dialah kita hidup. Junjungan kita juga Esa, iaitu Isa al-Masih. Segala-galanya dicipta melalui-Nya, dan kerana Dialah kita hidup.
Tetapi tidak semua orang yang mengetahui hakikat ini. Ada orang yang hingga sekarang ini sudah biasa menyembah berhala, dan apabila mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, mereka merasakan bahawa makanan itu makanan berhala. Oleh itu, hati nurani mereka yang lemah menjadi ternoda. Sebenarnya makanan tidak dapat mengeratkan hubungan kita dengan Allah. Kita tidak akan rugi jika kita tidak makan makanan itu, dan tidak pula untung jika memakannya.
Namun demikian, berhati-hatilah, jangan sampai kebebasanmu melakukan apa sahaja menjadi batu sandungan kepada orang yang lemah. 10 Sekiranya seseorang yang hati nuraninya lemah melihat kamu yang dianggap lebih berpengetahuan makan di kuil berhala, tidakkah ini akan menggalakkannya makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala? 11 Dengan demikian pengetahuan kamu itu membawa kebinasaan kepada saudaramu yang lemah itu, sedangkan al-Masih telah mati untuknya juga. 12 Jika kamu secara demikian berdosa terhadap saudara-saudaramu dan melukai hati nurani mereka yang lemah, kamu sebenarnya berdosa terhadap al-Masih. 13 Jadi, jika makanan menyebabkan saudaraku berdosa, aku tidak akan makan daging lagi, supaya jangan sampai aku membuat saudaraku tersandung.