9
1 Isa berkata lagi, ‘Sesungguhnya, ada beberapa orang di sini yang tidak akan mati sebelum melihat kerajaan Allah datang dengan kuasa.’
Penjelmaan
2 Enam hari kemudian, Isa membawa Petrus, Yakobus, dan Yahya, pergi ke sebuah gunung yang tinggi di mana mereka bersendirian. Di situ Isa berubah rupa di depan mata mereka. 3 Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu. 4 Ilyas dan Musa muncul di hadapan mereka lalu berkata-kata dengan Isa.
5 Lalu Petrus berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah – satu untuk-Mu, satu untuk Musa, dan satu untuk Ilyas.’ 6 (Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana ketiga-tiganya ketakutan.)
7 Segumpal awan datang menaungi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!’
8 Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Isa.
9 Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Isa memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah mereka lihat, sehingga Putera Insan bangkit daripada kematian. 10 Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud ‘bangkit daripada kematian.’
11 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Mengapa guru-guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’
12 Isa menjawab, ‘Benar, Ilyas akan datang dulu dan memulihkan segala-galanya. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Putera Insan, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan? 13 Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang dan orang memperlakukannya sesuka hati, tepat seperti yang tersurat tentang dirinya.’
Isa menyembuhkan seorang anak lelaki yang bisu
14 Apabila mereka pulang mendapatkan para pengikut yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan para pengikut Isa. 15 Sebaik-baik orang ramai itu melihat Isa, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya.
16 Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?’
17 Seorang daripada orang ramai itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku membawa anakku kepada pengikut-pengikut-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu. 18 Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon pengikut-pengikut-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’
19 Isa berkata kepada mereka, ‘Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lamakah aku mesti tinggal bersamamu? Berapa lamakah aku harus bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.’
20 Mereka pun membawa anak itu kepada Isa. Sebaik-baik roh itu melihat Isa, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih.
21 Isa bertanya kepada bapa anak itu, ‘Sejak bila dia begini?’ Bapa anak itu menjawab, ‘Sejak dia kecil lagi. 22 Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.’ 23 Isa berkata kepadanya, ‘Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.’
24 Bapa itu segera berseru, ‘Aku percaya; tolonglah agar aku lebih percaya lagi!’
25 Ketika Isa melihat orang ramai datang berkerumun, Dia memerintah roh durjana itu, ‘Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.’
26 Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, ‘Dia sudah mati.’ 27 Tetapi Isa memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri.
28 Selepas itu Isa masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?’
29 Isa menjawab, ‘Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apapun, kecuali dengan doa.’
30 Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana 31 kerana Dia sedang mengajar para pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.’ 32 Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Isa.
Siapa yang terbesar?
33 Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?’ 34 Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar.
35 Isa duduk lalu memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, ‘Kalau sesiapa ingin menjadi yang pertama, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.’
36 Selepas itu Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, 37 ‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak seperti ini kerana-Ku, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Allah yang mengutus-Ku.’
Menghalau roh iblis
38 Yahya berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.’
39 Tetapi Isa berkata, ‘Jangan larang dia, kerana seseorang yang melakukan mukjizat dengan nama-Ku tidak mungkin mencela-Ku sejurus selepas itu. 40 Orang yang tidak menentang kita, memihak kepada kita. 41 Sesiapa yang memberimu secawan air dalam nama-Ku, kerana kamu pengikut al-Masih, sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, dia pasti akan mendapat ganjarannya.
Menyebabkan orang lain berdosa
42 ‘Tetapi sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak yang percaya kepada-Ku ini berdosa, maka lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut. 43 Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung sebelah tangan, daripada mempunyai dua tangan tetapi terhumban ke neraka, ke dalam api yang tidak terpadam. 44 Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam. 45 Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan pincang, daripada memiliki dua kaki tetapi terhumban ke neraka. 46 Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.
47 ‘Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu keluar. Lebih baik kamu memasuki kerajaan Allah dengan sebelah mata sahaja, daripada memiliki dua mata tetapi terhumban ke neraka. 48 Di sana
‘ “cacingnya tidak akan mati,
dan apinya tidak akan padam.” ’
49 ‘Setiap orang akan disaluti api.
50 ‘Garam itu baik, tetapi jika hilang rasanya, bagaimana kamu dapat mengembalikan rasanya? Adakanlah garam pengukuh dalam dirimu, dan hiduplah rukun damai sesamamu.’