4
Ibrahim diperbenar melalui iman
Oleh demikian, apakah yang akan kita katakan tentang Ibrahim, nenek moyang jasmaniah kita? Jika Ibrahim telah diperbenar kerana kerja amalnya dapatlah dia berbangga tetapi bukan di sisi Allah. Apakah yang tersurat di dalam Kitab Suci? ‘Ibrahim beriman kepada Allah, dan oleh itu dia diiktiraf sebagai seorang yang benar.’
Bagi seseorang yang membuat kerja, gajinya tidak dikira sebagai anugerah tetapi sebagai haknya. Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak membuat kerja amal tetapi percaya kepada Allah yang telah memperbenar orang yang mungkar, imannya diterima sebagai kebenaran. Demikianlah Daud berkata tentang berkat ke atas orang yang diperbenar Allah tanpa mengira kerja amalnya. Kata Daud:
 
‘Diberkatilah orang yang kemungkarannya diampunkan dan
dosanya dihapuskan.
Diberkatilah orang yang dosanya
tidak diperhitungkan Tuhan.’
 
Maka adakah berkat ini untuk orang yang bersunat, atau untuk orang yang tidak bersunat juga? Kerana kita berkata, ‘Iman Ibrahim telah diterima sebagai kebenaran.’ 10 Jadi, bagaimana iman itu diterima? Semasa dia sudah bersunat, atau sebelum bersunat? Bukan semasa dia sudah bersunat, tetapi ketika dia belum bersunat; 11 lalu dia menerima tanda persunatan, materai kebenaran yang didapatinya melalui iman semasa dia masih belum bersunat. Dengan demikian, dia menjadi bapa kepada semua orang yang beriman tanpa bersunat, supaya mereka diterima sebagai orang yang benar 12 dan dia juga menjadi bapa kepada orang bersunat yang bukan sahaja bersunat tetapi juga mengikut jejak langkah moyang bangsa kita, Ibrahim yang beriman sebelum dia bersunat.
13 Kerana janji kepada Ibrahim dan keturunannya bahawa mereka akan menjadi waris dunia ini bukanlah melalui hukum Taurat tetapi melalui kebenaran yang diperoleh dengan iman. 14 Kerana jika orang yang mengamalkan hukum Taurat menjadi waris, maka iman tidak bernilai dan janji itu mansuh. 15 Kerana hukum Taurat membawa kemurkaan Allah dan tanpa hukum Taurat, tiadalah kemungkaran.
16 Oleh demikian janji itu melalui iman, supaya datangnya melalui kasih kurnia dan dapat dipastikan bagi semua keturunan Ibrahim; bukan hanya yang mengamalkan hukum Taurat tetapi juga yang mempunyai iman Ibrahim, bapa kepada kita semua. 17 Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci, ‘Aku telah menjadikanmu bapa kepada beberapa banyak bangsa.’ Ibrahim bapa kita di sisi Allah. Dia beriman kepada Allah yang memberikan nyawa kepada yang mati dan menyeru yang tidak wujud menjadi wujud.
18 Meski bagaikan tiada harapan, Ibrahim berharap dan beriman, maka dia menjadi bapa kepada beberapa banyak bangsa, sebagaimana telah dikatakan kepadanya, ‘Demikian jugalah keturunanmu kelak.’ 19 Tanpa terjejas imannya, dia menghadapi kenyataan bahawa tubuhnya samalah seperti sudah mati – kerana dia sudah berusia kira-kira seratus tahun – dan rahim Sarah juga sudah mati. 20 Namun, Ibrahim tidak digugat kesangsian terhadap janji Allah, tetapi telah diteguhkan lagi dalam imannya lalu memuliakan Allah. 21 Dia yakin sepenuhnya bahawa Allah berkuasa melakukan apa yang telah dijanjikan-Nya. 22 Maka ‘dengan imannya itu dia telah diterima sebagai orang yang benar.’ 23 Kata-kata ‘dengan imannya itu dia telah diterima sebagai orang yang benar’ telah tersurat bukan untuknya sahaja, 24 tetapi juga untuk kita: Allah akan menerima kita sebagai orang yang benar, kita yang beriman terhadap Dia yang telah membangkitkan Junjungan Isa daripada kematian. 25 Dia telah diserahkan kepada kematian kerana dosa kita dan dibangkitkan semula kepada kehidupan untuk pembenaran kita.