6
Mati kepada dosa, hidup dalam al-Masih
Oleh yang demikian, apa akan kita katakan? Patutkah kita terus melakukan dosa supaya kasih kurnia bertambah Sama sekali tidak! Kita telah mati kepada dosa; betapa mungkin kita terus hidup dalamnya? Atau tidakkah kamu tahu bahawa semua kita yang diimadkan dalam al-Masih telah diimadkan ke dalam kematian-Nya? Melalui pengimadan itu, kita dikuburkan dengan al-Masih dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana al-Masih dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru.
Jika kita telah disatukan dengan al-Masih kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa. Kerana sesiapa yang telah mati, dia dibebaskan daripada dosa.
Jika kita telah mati bersama al-Masih, kita percaya bahawa kita akan hidup dengan-Nya juga. Kerana kita tahu bahawa oleh sebab al-Masih telah dibangkitkan daripada kematian, Dia tidak mungkin mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. 10 Dengan kematian-Nya, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah.
11 Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam al-Masih Isa. 12 Oleh itu jangan biarkan dosa bertakhta dalam tubuhmu yang fana sehingga kamu menurut kemahuannya yang durjana. 13 Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan; dan persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada-Nya sebagai alat-alat kebenaran. 14 Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia.
Abdi kepada kebenaran
15 Jadi bagaimana? Patutkah kita melakukan dosa kerana kita bukan di bawah hukum tetapi di bawah kasih kurnia? Sama sekali tidak! 16 Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati – sama ada kamu hamba kepada dosa, yang membawa kepada kematian, atau kamu hamba kepada ketaatan, yang membawa kepada kebenaran. 17 Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi kini kamu telah taat sepenuh hati akan bentuk ajaran yang telah diamanahkan kepadamu. 18 Kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba kepada kebenaran.
19 Aku menyampaikan perkara ini melalui istilah kehidupan manusia kerana kamu lemah dalam diri tabiimu. Sebagaimana dahulu kamu telah mempersembahkan bahagian-bahagian tubuhmu sebagai hamba kepada kekejian dan kedurjanaan yang sentiasa meningkat, maka sekarang kamu hendaklah mempersembahkan dirimu sebagai hamba kepada kebenaran yang membawa kepada kesucian. 20 Sewaktu kamu diperhambakan dosa dahulu, kamu tidaklah dikuasai oleh kawalan kebenaran. 21 Tetapi apakah manfaat yang kamu dapati daripada perkara-perkara yang kini membuatmu berasa malu? Perkara-perkara itu membawa kematian. 22 Kini kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Allah, manfaat yang kamu dapati membawa kepada kesucian, dan hasilnya ialah kehidupan kekal. 23 Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam al-Masih Isa, Junjungan kita.