Isa menyembuhkan seorang yang sakit
14 Pada hari Sabtu Isa pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkemuka. Orang ramai memerhatikan Isa dengan teliti. 2 Seorang lelaki yang bengkak kaki dan lengannya datang kepada Isa. 3 Isa bertanya kepada ahli-ahli Taurat dan orang Farisi, "Adakah Taurat membenarkan orang disembuhkan pada hari Sabtu atau tidak?" 4 Tetapi mereka diam sahaja. Lalu Isa memanggil orang itu dan menyembuhkannya serta menyuruhnya pulang. 5 Kemudian Isa berkata kepada mereka, "Jikalau anak lelaki atau lembumu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabtu, siapakah antara kamu yang tidak menariknya keluar dengan sertamerta pada hari Sabtu itu juga?" 6 Tetapi mereka tidak dapat memberikan jawapan kepada Isa tentang perkara itu.
Murah hati dan rendah hati
7 Isa mengatakan suatu ibarat kepada orang di jamuan itu kerana Dia melihat bagaimana mereka memilih tempat terbaik. 8 "Apabila kamu dijemput orang ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat terbaik. Mungkin seorang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput, 9 dan tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, Berikanlah tempatmu kepada orang ini. Lalu dengan malu sahaja kamu berpindah ke tempat yang lebih belakang. 10 Oleh itu, apabila kamu dijemput orang, pergilah duduk di tempat yang paling belakang supaya tuan rumah datang dan berkata kepadamu, Saudara, silakanlah ke tempat yang lebih baik. Dengan itu, kamu mendapat penghormatan di hadapan semua orang jemputan itu. 11 Sesiapa yang memuliakan dirinya akan direndahkan dan yang merendahkan dirinya akan dimuliakan."
12 Kemudian Isa berkata kepada tuan rumah, "Apabila tuan mengadakan suatu majlis makan tengah hari atau malam, janganlah tuan jemput sahabat-sahabatmu atau adik-beradikmu atau sanak-saudaramu atau jiran tetanggamu yang kaya kerana kelak mereka akan menjemput tuan pula dan itulah balasan kepada perbuatanmu. 13 Apabila tuan mengadakan suatu jamuan, jemputlah orang miskin, orang kudung, orang tempang dan orang buta. 14 Berbahagialah tuan kelak kerana mereka tidak dapat membalas jemputanmu, tetapi tuan akan dianugerahi Allah pada hari kebangkitan orang benar daripada kematian.
Ibarat jamuan besar
15 Salah seorang jemputan itu mendengar kata-kata Isa lalu berkata, "Berbahagialah orang yang akan dijamu di dalam kerajaan Allah." 16 Isa berkata kepadanya, "Ada seorang yang mengadakan jamuan besar dan dia menjemput banyak orang. 17 Apabila tiba masanya, dia menyuruh hambanya pergi memberitahu para jemputannya, Marilah, kerana semuanya siap sedia. 18 Tetapi masing-masing mula berdalih. Yang pertama berkata, Saya telah membeli sebuah ladang dan saya harus pergi ke sana. Saya minta maaf. 19 Seorang yang lain berkata, Saya telah membeli sepuluh ekor lembu dan harus pergi tengok lembu-lembu itu. Saya minta maaf. 20 Seorang yang lain lagi berkata, Saya baru berkahwin. Oleh itu, saya tidak dapat datang. 21 Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya hal ini. Tuan rumah itu sangat marah dan menyuruh hambanya, Pergilah dengan segera ke jalan-jalan dan lorong-lorong kota dan bawalah orang miskin, orang kudung, orang buta dan orang tempang ke mari. 22 Hamba itu berkata, Tuan, apa yang tuan suruh telah dilakukan tetapi masih ada tempat lagi. 23 Tuan rumah berkata kepada hambanya, Pergilah ke jalan-jalan raya dan lorong-lorong di luar kota serta suruh orang datang supaya rumah saya penuh. 24 Saya berkata kepadamu bahawa tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, yang akan menikmati jamuan saya itu."
Pengorbanan menjadi pengikut Isa
25 Orang ramai sedang mengiringi Isa apabila Dia berpaling dan berkata kepada mereka, 26 "Jikalau seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan dirinya, dia tidak boleh menjadi pengikut-Ku. 27 Sesiapa yang tidak memikul salibnya dan mengikut Aku tidak boleh menjadi pengikut-Ku. 28 Jikalau seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu. 29 Jikalau dia sudah meletakkan asas menara itu, tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya, semua orang yang melihat hal itu akan mengolok-ngolokkannya. 30 Orang ini telah memulakan pembinaan itu, tetapi tidak dapat pula menyiapkannya. 31 Jikalau seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak keluar berperang dengan raja lain yang mempunyai dua puluh ribu orang askar, dia akan mempertimbangkan sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut. 32 Kalau dia tidak dapat berbuat demikian, dia akan memerintah utusan-utusannya untuk bertanyakan syarat-syarat perdamaian semasa musuhnya masih jauh lagi. 33 Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala harta bendanya, tidak boleh menjadi pengikut-Ku.
Garam yang tidak berguna
34 "Garam itu baik tetapi jikalau garam itu menjadi tawar, garam itu tidak dapat dimasinkan lagi. 35 Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Orang yang bertelinga , dengarlah."