Pengurus yang cerdik
16 Isa berkata kepada pengikut-pengikutnya, "Seorang kaya mempunyai seorang pengurus untuk harta bendanya. Dia diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang tuannya. 2 Tuan itu memanggil pengurus itu lalu berkata, Apakah yang telah saya dengar tentangmu? Serahkanlah kira-kira yang lengkap bagi semua hartaku kerana awak tidak boleh menjadi pengurus lagi. 3 Pengurus itu berkata kepada dirinya, Apakah harus aku buat? Aku tidak kuat untuk mencangkul dan aku malu meminta sedekah. 4 Aku tahu apa yang harus aku buat supaya apabila aku dipecat nanti daripada jawatan pengurus itu, aku ada banyak sahabat yang akan menerimaku ke rumah mereka. 5 Dia pun memanggil semua orang yang berhutang kepada tuannya. Dia berkata kepada orang yang pertama, Berapakah hutangmu kepada tuan aku? 6 Orang itu menjawab, Seratus tong minyak zaitun. Pengurus itu berkata, Inilah kira-kiramu. Duduk dan tulislah lima puluh. 7 Dia berkata kepada seorang yang lain, Berapakah hutangmu pula? Orang itu menjawab, Seratus pikul gandum. Pengurus itu berkata, Inilah kira-kiramu. Tulislah lapan puluh. 8 Tuan itu memuji pengurus yang tidak jujur itu kerana perbuatannya yang cerdik. Orang duniawi lebih cerdik menguruskan pekerjaan mereka daripada orang yang hidup dalam nur.
9 "Aku berkata kepadamu supaya menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal. 10 Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar. 11 Oleh itu, jikalau kamu tidak setia dalam kekayaan dunia ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan yang sejati kepadamu? 12 Dan jikalau kamu tidak setia dengan milik orang lain, siapakah pula yang akan memberimu apa yang menjadi milik kamu sendiri?
13 "Tiada seorang hamba yang dapat menghambakan diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci seorang dan mengasihi seorang lagi ataupun dia akan taat kepada seorang dan menghina seorang lagi. Kamu tidak dapat bekerja untuk Allah dan untuk kekayaan."
Beberapa ajaran Isa
14 Orang Farisi yang mendengar kata-kata Isa mengejek-Nya kerana mereka melobakan wang. 15 Isa berkata kepada mereka, "Kamulah orang yang berpura-pura benar di hadapan khalayak ramai, tetapi Allah mengetahui isi hatimu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia tidak ada nilainya bagi Allah.
16 "Sebenarnya, hukum Taurat dan kitab segala nabi berkuatkuasa sehingga zaman Yahya. Semenjak itu, perkhabaran baik tentang kerajaan Allah diberitakan, dan orang berasak-asak hendak memasukinya. 17 Tetapi lebih mudah langit dan bumi lenyap daripada kehilangan sepatah kata pun daripada Taurat.
18 "Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, berzina. Begitu juga dengan lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya.
Orang kaya dan Lazar
19 "Ada seorang kaya yang berpakaian mahal-mahal dan hidup dalam kemewahan setiap hari. 20 Ada pula seorang miskin bernama Lazar yang penuh dengan pekung. Dia selalu dibawa ke muka pintu rumah orang kaya itu. 21 Dia ingin mendapat sisa-sisa makanan yang dibuang dari meja orang kaya itu. Anjing pula datang menjilat pekung-pekungnya. 22 Si miskin itu mati dan malaikat-malaikat membawanya ke sisi Ibrahim di syurga. Orang kaya itu pun mati lalu dikebumikan. 23 Dia menderita di dalam alam maut. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Ibrahim jauh di sana dan Lazar di sisinya. 24 Dia berseru, Bapa Ibrahim, kasihanilah saya dan suruh Lazar datang mencelupkan jarinya di dalam air untuk membasahkan lidah saya kerana saya sengsara di dalam nyala api ini. 25 Tetapi Ibrahim berkata, Anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati kesenangan pada masa hidupmu, tetapi Lazar mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazar senang di sini tetapi engkau menderita. 26 Selain itu, terdapat satu jurang yang dalam di antara kami dengan kamu supaya orang yang hendak menyeberang dari sini kepada kamu tidak dapat berbuat demikian, dan orang dari sana tidak dapat menyeberang kepada kami. 27 Orang kaya itu berkata, Jikalau begitu, saya memohon, ya bapa, suruh Lazar ke rumah ayah saya 28 kerana saya mempunyai lima adik-beradik lelaki. Biarlah Lazar pergi memberikan amaran kepada mereka supaya mereka tidak datang ke tempat sengsara ini. 29 Ibrahim berkata, Mereka ada kitab Musa dan nabi-nabi. Biarlah mereka mendengar pengajaran itu. 30 Orang kaya itu berkata, Itu tidak cukup, Bapa Ibrahim. Jikalau seorang antara orang mati pergi kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa-dosa mereka. 31 Tetapi Ibrahim berkata, Jikalau mereka tidak mahu mendengar pengajaran kitab Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya sekalipun seorang bangkit daripada kematian."