Ibarat seorang balu dan seorang hakim
18 Kemudian Isa menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa. 2 Isa berkata, "Di dalam sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah atau mempedulikan sesiapa. 3 Di kota itu juga ada seorang balu yang kerapkali datang kepada hakim itu untuk menuntut keadilan terhadap lawannya. 4 Untuk beberapa lama hakim itu menolak tuntutannya, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, Walaupun aku tidak takut akan Allah dan tidak pedulikan sesiapa pun, 5 tetapi disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku." 6 Rabbi menambah, "Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang jahat itu. 7 Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam? Adakah Dia akan bertangguh untuk melaksanakan keadilan bagi mereka? 8 Aku berkata kepadamu bahawa Allah akan melaksanakan keadilan bagi mereka dengan segera. Tetapi, apabila Anak Manusia datang, akankah Dia menjumpai orang yang percaya kepada-Nya?"
Ibarat seorang Farisi dan seorang pemungut cukai
9 Isa juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka benar dan menghina orang lain. 10 "Dua orang masuk ke dalam Bait Suci untuk berdoa. Seorang daripadanya orang Farisi dan seorang lagi pemungut cukai. 11 Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya, Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau tidak bermoral seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. 12 Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku. 13 Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini. 14 Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan dirinya akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan dirinya akan ditinggikan pula."
Isa memberkati anak-anak
15 Ada orang membawa anak mereka kepada Isa supaya Dia memberkati mereka. Tetapi apabila pengikut-pengikut Isa melihat hal ini, mereka menegur orang itu. 16 Tetapi Isa memanggil anak-anak itu datang kepada-Nya lalu Dia berkata, "Biarlah anak-anak ini datang kepada-Ku. Janganlah larang mereka kerana kerajaan Allah menjadi milik orang yang sedemikian. 17 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang tidak menyambut kerajaan Allah seperti seorang anak menerimanya, tidak dapat masuk ke dalam kerajaan itu."
Seorang yang kaya
18 Seorang pemimpin bangsa Yahudi bertanya kepada Isa, "Ya Guru yang baik, apakah harus saya buat untuk beroleh hidup yang kekal?" 19 Isa menjawab, "Mengapakah engkau mengatakan Aku ini baik? Tiada sesiapa pun yang baik kecuali Allah. 20 Engkau mengetahui hukum-hukum Allah, iaitu jangan berzina, jangan bunuh, jangan curi, jangan berdusta, hormati bapa dan ibumu." 21 Pemimpin itu berkata, "Semua ini telah saya turuti sejak kecil." 22 Apabila Isa mendengar ini, Dia berkata kepadanya, "Satu perkara sahaja yang perlu engkau lakukan. Juallah segala hartamu dan dermakan wangnya kepada orang miskin. Engkau akan beroleh harta di syurga. Kemudian, ikutlah Aku." 23 Tetapi apabila pemimpin itu mendengar demikian, dia menjadi sangat sedih kerana dia seorang yang amat kaya.
24 Isa nampak dia sedih lalu berkata, "Alangkah sukar bagi orang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah! 25 Lebih mudah seekor unta masuk ke lubang jarum daripada seorang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah." 26 Orang yang mendengar-Nya berkata, "Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?" 27 Isa menjawab, "Yang mustahil bagi manusia itu tidak mustahil bagi Allah."
28 Petrus berkata, "Kami telah meninggalkan rumah untuk mengikut Tuan." 29 Isa berkata kepada mereka, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa sahaja yang telah meninggalkan rumah, atau isteri, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak-anak demi Kerajaan Allah 30 akan menerima ganjaran berkali-kali gandanya pada masa ini dan hidup yang kekal pada akhirat."
Kali ketiga Isa berkata tentang kematian-Nya
31 Isa membawa dua belas pengikut-Nya ke suatu tempat dan berkata kepada mereka, "Kita akan pergi ke Baitulmuqaddis dan segala yang tertulis dalam kitab-kitab nabi tentang Anak Manusia akan berlaku di sana. 32 Dia akan diserahkan ke tangan bangsa asing. Dia akan diolok-olokkan dan dimaki serta diludahi orang. 33 Mereka akan menyebat Dia dan membunuh-Nya. Pada hari yang ketiga Dia akan bangkit semula." 34 Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak mengerti perkara-perkara ini. Maksud kata-kata ini dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak memahami apa yang dikatakan oleh Isa.
Isa menyembuhkan seorang pengemis yang buta
35 Isa menghampiri kota Jericho. Di situ ada seorang buta yang duduk di tepi jalan untuk meminta sedekah. 36 Apabila dia mendengar bunyi orang ramai lalu, dia bertanya, "Apakah yang sedang berlaku?" 37 Orang memberitahu dia bahawa Isa, orang Nasaret, sedang lalu. 38 Dia pun berseru, "Isa, Anak Daud, kasihanilah aku." 39 Orang yang di hadapannya memarahinya dan menyuruh dia diam, tetapi dia berseru dengan lebih kuat, "Ya, Anak Daud, kasihanilah saya." 40 Isa berhenti dan menyuruh orang membawa dia kepada-Nya. Apabila dia mendekati Isa, Isa bertanya, 41 "Apakah yang engkau hendak Aku berbuat bagimu?" Dia berkata, "Tuan, saya mahu melihat kembali." 42 Isa berkata kepadanya, "Terimalah penglihatanmu kembali, imanmu telah menyembuhkanmu." 43 Seketika itu juga, dia dapat melihat lalu dia mengikut Isa dan mengucapkan syukur kepada Allah. Semua orang yang menyaksikan kejadian ini memuji Allah.