Isa dengan Zakai
19 Isa meneruskan perjalanan ke Jericho dan melalui kota itu. 2 Di situ ada seorang yang bernama Zakai. Dia ketua pemungut cukai dan sangat kaya. 3 Dia cuba hendak melihat siapa gerangan Isa itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana orang terlalu banyak dan dia sendiri pendek. 4 Dia pun berlari mendahului mereka lalu memanjat pokok ara untuk melihat Isa yang akan melalui jalan itu. 5 Apabila Isa sampai ke tempat itu, Dia mendongak ke atas lalu berkata kepadanya, "Zakai, turunlah dengan segera kerana pada hari ini Aku harus menumpang di rumahmu." 6 Zakai turun dengan segera dan menyambut Isa dengan sukacitanya. 7 Semua orang yang melihat hal ini bersungut-sungut, "Dia hendak menumpang di rumah orang yang berdosa pula!" 8 Tetapi Zakai berdiri dan berkata kepada Rabbi, "Tuan, sekarang ini juga saya hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jikalau saya telah menipu sesiapa, saya akan membayarnya kembali empat kali ganda." 9 Isa berkata kepadanya, "Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada seluruh keluarga kamu kerana kamu juga seorang keturunan Ibrahim. 10 Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat."
Ibarat tentang kepingan wang emas
11 Isa menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba ke Baitulmuqaddis dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi. 12 Jadi, Isa berkata, "Ada seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali kemudian. 13 Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi masing-masing sekeping wang emas dan berkata kepada mereka, Berniagalah dengan menggunakan wang ini sehingga aku pulang. 14 Tetapi rakyat negeri itu membencikannya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.
15 "Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing. 16 Yang pertama menghadap dan berkata, Tuanku, sekeping wang emas tuanku itu telah menjadi sepuluh kali lebih banyak. 17 Raja itu bertitah kepadanya, Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab hamba telah setia dalam perkara kecil ini, beta akan menjadikan engkau penguasa kepada sepuluh buah kota. 18 Yang kedua menghadap dan berkata, Tuanku, sekeping wang emas tuanku itu telah menjadi lima kali lebih banyak. 19 Raja itu bertitah kepadanya, Engkau akan menjadi penguasa kepada lima buah kota. 20 Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, Tuanku, inilah wang emas tuanku yang telah patik simpan di dalam sehelai kain. 21 Patik takut akan tuanku kerana tuanku seorang yang keras hati. Tuanku mengambil apa yang bukan milik tuanku, dan menuai apa yang tidak tuanku taburkan. 22 Raja itu bertitah, Hamba yang jahat! Beta akan menghukum engkau mengikut kata-kata engkau sendiri. Engkau mengetahui beta ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milik beta dan menuai apa yang tidak beta taburkan. 23 Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam bank? Kemudian, setelah beta kembali, beta dapatlah mengambil wang itu dengan bunganya sekali. 24 Lalu raja itu bertitah kepada orang yang berdiri di situ, Ambillah keping wang itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang ada sepuluh keping wang emas itu. 25 Mereka pun berkata kepadanya, Tuanku, dia sudah ada sepuluh keping. 26 Raja itu bertitah, Orang yang sedia ada akan diberi lebih banyak, dan orang yang tidak mempunyai sesuatu akan diambil barang yang ada padanya. 27 Sekarang, bawalah ke mari seteru-seteru beta yang tidak mahu beta menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapan beta."
Isa masuk ke Baitulmuqaddis
28 Setelah Isa berkata demikian, Dia pun mendahului mereka menuju ke Baitulmuqaddis. 29 Apabila Dia mendekati Betfage dan Betania di Bukut Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya berjalan terlebih dahulu. 30 Dia berkata kepada mereka, "Pergilah ke kampung di hadapan itu. Apabila kamu masuk ke kampung itu, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Anak keldai itu belum pernah ditunggangi orang. Lepaskan keldai itu dan bawanya ke mari. 31 Jikalau ada orang bertanya kepadamu, Mengapakah kamu melepaskan keldai?, kamu hendaklah berkata kepadanya, Tuan memerlukannya." 32 Kedua-dua pengikut itu pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Isa kepada mereka. 33 Sedang mereka melepaskan anak keldai itu, tuan anak keldai itu berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?" 34 Pengikut-pengikut itu menjawab, "Tuan memerlukannya." 35 Lalu mereka membawanya kepada Isa. Kemudian, mereka menghamparkan jubah mereka di atas anak keldai itu dan menolong Isa naik ke atasnya. 36 Sedang Isa menunggang keldai itu, orang ramai pun membentangkan jubah mereka di jalan. 37 Apabila Dia menghampiri jalan yang turun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersyukur kepada Allah dan memuji-Nya dengan suara yang kuat kerana semua mukjizat yang telah disaksikan oleh mereka:
39 Antara orang ramai itu ada beberapa orang Farisi yang berkata kepada Isa, "Guru, suruh pengikut-pengikut-Mu supaya diam." 40 Isa menjawab, "Aku berkata kepadamu bahawa jikalau mereka diam, batu-batu pula akan bersorak."
Tangisan Isa bagi Baitulmuqaddis
41 Isa menghampiri Baitulmuqaddis dan apabila melihat kota itu, Dia pun menangisinya 42 lalu berkata, "Kalaulah kiranya pada hari ini engkau mengetahui perkara-perkara yang dapat membawa kedamaian kepadamu! Tetapi sekarang semuanya dirahsiakan daripadamu. 43 Masanya akan datang apabila musuh-musuhmu akan mengelilingmu dengan sekatan, mengepung engkau dan mengasak engkau dari semua arah. 44 Mereka akan membinasakan engkau dan semua pendudukmu. Mereka tidak akan meninggalkan seketul batu pun di tempatnya kerana engkau tidak mengetahui masanya Allah datang untuk menyelamatkan engkau."
Isa pergi ke Bait Suci
45 Isa masuk ke dalam Bait Suci lalu mengusir semua pedagang di situ. 46 Dia berkata kepada mereka, "Kitab Suci mengatakan,
47 Setiap hari Isa mengajar di dalam Bait Suci. Ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan pemimpin-pemimpin bangsa Yahudi mencari jalan untuk membunuh-Nya 48 tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian kerana orang ramai terus-menerus datang mendengar Isa dan mereka tidak mahu terlepas sepatah kata Isa pun.