Kebangkitan Isa
24 Awal-awal lagi pada hari Ahad, perempuan-perempuan itu pun pergi ke kubur dengan membawa rempah-rempah harum yang telah disediakan mereka. 2 Mereka mendapati batu penutup kubur itu telah digulingkan dari pintu kubur. 3 Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Isa tiada lagi. 4 Mereka berdiri di situ dan berasa sangat bimbang tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka. 5 Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu bersujud. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup antara orang mati? 6 Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit. Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea: 7 Anak Manusia harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalibkan dan bangkit pada hari yang ketiga." 8 Mereka pun teringatlah akan kata-kata Isa. 9 Sekembali mereka dari kubur itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang utusan dan semua pengikut yang lain. 10 Mereka, iaitu Maryam orang Magdala, Yuannah, Maryam ibu Yakub dan perempuan-perempuan yang lain memperkatakan segala perkara itu kepada utusan-utusan. 11 Tetapi utusan-utusan itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak mempercayai mereka. 12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke kubur itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kapan sahaja di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku.
Perjalanan ke kampung Emaus
13 Pada hari itu juga dua orang antara pengikut Isa sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Baitulmuqaddis. 14 Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu. 15 Sedang mereka berbual-bual dan berbincang, Isa sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama. 16 Mereka nampak Isa tetapi mereka tidak mengenali Dia. 17 Isa berkata kepada mereka, "Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?" Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung. 18 Seorang daripadanya yang bernama Keleopas bertanya kepada Isa, "Tuankah satu-satunya orang di Baitulmuqaddis yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?" 19 Isa berkata, "Apakah yang telah berlaku?" Mereka menjawab, "Segala perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nasaret. Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa kerana apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya. 20 Ketua-ketua imam dan pemimpin-pemimpin masyarakat kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalibkan-Nya. 21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahannya, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku. 22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke kubur pada pagi tadi. 23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Isa hidup. 24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke kubur itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Isa.
25 Kemudian, Isa berkata kepada mereka, "Betapa bodoh kamu! Betapa lambatnya kamu percaya akan segala kata nabi-nabi! 26 Bukankah Al Masih harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?" 27 Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tertulis tentang-Nya daripada kitab-kitab Musa dan para nabi dalam Kitab Suci.
28 Mereka telah menghampiri kampung yang ditujui mereka itu dan Isa kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan. 29 Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, "Bermalamlah dengan kami kerana hari sudah senja dan mulai gelap." Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka. 30 Sedang Dia duduk makan bersama-sama dengan mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka. 31 Mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Tetapi Isa lenyap daripada pandangan mereka. 32 Mereka berkata satu sama lain, "Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?"
33 Mereka terus bangun dan kembali ke Baitulmuqaddis. Mereka mendapati sebelas orang utusan berkumpul dengan pengikut yang lain. 34 Mereka berkata, "Sesungguhnya, Rabbi telah bangkit. Dia menampakkan Diri-Nya kepada Simun." 35 Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Isa semasa Dia membahagikan roti.
Isa menunjukkan Diri-Nya kepada utusan-utusan
36 Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Isa sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, "Sejahteralah kamu!" 37 Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu. 38 Tetapi Isa berkata kepada mereka, "Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu?" 39 Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Jamahlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku." 40 Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. 41 Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Isa pun bertanya kepada mereka, "Adakah kamu mempunyai makanan di sini?" 42 Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak, 43 lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua.
44 Kemudian, Dia berkata kepada mereka, "Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersama-sama denganmu dahulu: segala perkara yang tertulis tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Mazmur pasti akan berlaku. 45 Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci. 46 Dia berkata lagi, "Demikianlah yang tertulis: bahawa Al Masih harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga. 47 Demi Nama Al Masih, perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan kepada semua bangsa, mulai Baitulmuqaddis. 48 Kamulah saksi segala perkara ini. 49 Dan Aku sendiri akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan oleh Bapa-Ku kepadamu. Oleh itu, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkapi dengan kuasa daripada Allah."
Isa diangkat ke syurga
50 Kemudian Isa membawa pengikut-pengikut-Nya ke luar kota sehingga Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. 51 Sedang Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka. 52 Pengikut-pengikut-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Baitulmuqaddis dengan penuh kegembiraan. 53 Mereka meluangkan masa di Bait Suci untuk mengucap syukur kepada Allah.