Isa menyembuhkan hamba ketua askar Rom
7 Setelah Isa habis memperkatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. 2 Terdapat seorang hamba ketua askar yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati. 3 Apabila ketua askar itu mendengar tentang Isa, dia menyuruh beberapa pemimpin masyarakat Yahudi mendapatkan Isa untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu. 4 Ketika pemimpin-pemimpin itu mendapatkan Isa, mereka memohon-Nya bersungguh-sungguh, "Tolonglah kabulkan permintaannya kerana dia patut ditolong. 5 Dia mengasihi bangsa kita dan dia telah mendirikan sebuah balai sembahyang untuk kita." 6 Lalu Isa pun pergi bersama-sama dengan mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua askar itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Isa, "Tuan, tak usah Tuan menyusahkan diri ke rumah saya kerana saya tidak layak. 7 Saya juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Memadailah Tuan memberikan perintah sahaja dan hamba saya itu akan sembuh. 8 Saya pun di bawah perintah orang atasan dan saya ada askar di bawah perintah saya. Saya memerintah seseorang, Pergilah! dan dia akan pergi; saya memerintah seorang lagi, Datang! dan dia akan datang. Saya memerintah seorang hamba, Buat kerja ini! dan dia akan melakukannya." 9 Isa hairan mendengar ini lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, "Aku berkata kepadamu bahawa antara bangsa Israel sekalipun belum pernah Aku melihat orang yang beriman seteguh ini." 10 Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar Rom itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.
Isa menghidupkan anak lelaki seorang balu
11 Tidak lama kemudian, Isa pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi bersama-sama-Nya. 12 Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama-sama dengan wanita itu. 13 Apabila Isa melihat balu itu, Dia berasa kasihan terhadapnya lalu berkata kepadanya, "Janganlah menangis." 14 Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Isa berkata, "Hai pemuda, Aku berkata kepadamu bangun!" 15 Si mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Isa mengembalikannya kepada ibunya. 16 Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: "Seorang nabi yang agung telah muncul di kalangan kita!" dan "Allah telah menziarahi umat-Nya." 17 Khabar tentang Isa ini tersebar ke seluruh jajahan Judea dan daerah di sekelilingnya.
Utusan-utusan daripada Yahya Pembaptis
18 Pengikut-pengikut Yahya memaklumkan segala perkara ini kepada Yahya. 19 Yahya memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka pergi kepada Rabbi untuk bertanya, "Tuankah orang yang dikatakan Yang Akan Datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?" 20 Apabila mereka datang kepada Isa, mereka berkata, "Yahya yang membaptiskan itu menyuruh kami datang kepada Tuan untuk bertanya, Tuankah orang yang dikatakan Yahya yang akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain? " 21 Pada masa itu juga, Isa telah menyembuhkan banyak orang yang menderitai penyakit dan kerasukan roh jahat serta menganugerahkan penglihatan kepada banyak orang yang buta. 22 Lalu Isa menjawab kepada mereka, "Pergilah dan maklumkan kepada Yahya apa yang telah kamu saksikan dan dengar; orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, orang kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dihidupkan kembali serta perkhabaran yang baik pun diberitakan kepada orang miskin. 23 Berbahagialah orang yang tidak menaruh keraguan terhadap Aku."
24 Setelah utusan-utusan Yahya pulang, Isa mula berkata kepada orang ramai itu tentang Yahya, "Semasa kamu pergi berjumpa dengan Yahya di padang gurun, apakah yang hendak kamu lihat? Sebatang buluh yang digoyang oleh anginkah? 25 Kamu pergi untuk melihat apa? Seorang yang mengenakan pakaian yang cantikkah? Sebenarnya, orang yang berpakaian cantik dan hidup dengan kemewahan didapati di istana-istana raja. 26 Oleh itu, kamu pergi untuk melihat apa? Seorang nabikah? Aku berkata kepadamu kamu melihat lebih daripada seorang nabi. 27 Dialah yang dikatakan dalam Kitab Suci;
28 "Aku berkata kepadamu bahawa Yahya itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya."
29 Orang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Isa. Mereka yang telah mematuhi hukum-hukum Allah dan mereka dibaptiskan dengan baptisan Yahya. 30 Tetapi orang Farisi dan ahli-ahli Taurat yang tidak dibaptiskan oleh Yahya, telah menolak kehendak Allah untuk diri mereka.
31 "Dengan apakah dapat aku umpamakan orang pada zaman ini? Bagaimanakah keadaan mereka? 32 Mereka umpama budak-budak yang duduk di pasar dan berseru-seru sesama sendiri,
"Kami telah memainkan serunai tetapi kamu tidak mahu menari;kami telah meratap tetapi kamu tidak pula menangis.
33 "Kerana Yahya Pembaptis telah datang dengan berpuasa dan tidak meminum air anggur, kamu berkata, Dia dirasuk syaitan! 34 Anak Manusia itu datang dengan makan dan minum lalu kamu berkata, Tengoklah, orang gelojoh dan peminum air anggur, sahabat kepada pemungut-pemungut cukai dan orang berdosa. 35 Tetapi kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah dibuktikan benar oleh semua orang yang menerimanya."
Isa di rumah Simun, seorang Farisi
36 Salah seorang Farisi menjemput Isa makan di rumahnya. Isa masuk ke rumah orang Farisi itu lalu duduk makan. 37 Di dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Isa sedang makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah botol berisi minyak wangi. 38 Dia berdiri di belakang Isa dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Isa dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Isa dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya. 39 Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Isa berkata-kata dalam hatinya, "Jika orang ini seorang nabi, tentulah dia mengetahui perempuan yang menyentuhnya seorang yang hidup dalam dosa." 40 Isa menjawabnya, "Simun, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu." Simun berkata, "Ya Guru, katakanlah." 41 "Ada dua orang berhutang kepada seorang peminjam wang. Seorang berhutang lima ratus dinar dan seorang lagi lima puluh dinar. 42 Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya? 43 Simun menjawab, "Saya rasa orang yang dihapus hutangnya yang lebih besar itu." Isa berkata kepadanya, "Betullah jawapanmu." 44 Lalu Isa berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simun, "Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya. 45 Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku. 46 Engkau tidak menuang minyak zaitun pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. 47 Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kasihnya yang besar membuktikan dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja menunjukkan kasih yang sedikit juga." 48 Isa berkata kepada perempuan itu, "Dosa-dosamu telah diampunkan." 49 Mereka yang makan bersama-sama dengan Isa berkata sesama sendiri, "Siapakah orang ini yang dapat mengampunkan dosa pula?" 50 Isa berkata kepada perempuan itu, "Imanmu telah menyelamatkan engkau. Pergilah dengan sejahtera."