Isa mengutus dua belas pengikut-Nya
9 Isa memanggil dua belas pengikut-Nya itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh jahat dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. 2 Dia menyuruh mereka pergi mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit. 3 Isa berkata kepada mereka, "Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg sedekah, baik makanan, baik wang atau dua helai pakaian. 4 Di rumah mana-mana pun kamu disambut, tinggallah di situ sehingga kamu meninggalkan bandar tersebut. 5 Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai amaran kepada mereka." 6 Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.
Kebingungan Herodes
7 Raja Herodes mendengar segala perkara yang dilakukan oleh Isa. Herodes bingung kerana ada yang mengatakan bahawa Yahya telah hidup semula, 8 ada yang berkata bahawa Ilyas telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali. 9 Herodes berkata, "Yahya itu telah beta pancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah beta dengar." Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Isa.
Isa memberikan makanan kepada lima ribu orang
10 Setelah utusan-utusan itu kembali, mereka menceritakan kepada Isa segala perkara yang telah dilakukan mereka. Isa membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida. 11 Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikuti-Nya. Isa menyambut mereka dan memperkatakan kerajaan Allah kepada mereka dan menyembuhkan orang yang meminta-Nya berbuat demikian.
12 Pada waktu senja dua belas pengikut itu datang kepada Isa. Mereka berkata, "Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke pekan-pekan dan kampung-kampung di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil. 13 Isa berkata kepada mereka, "Kamulah memberi mereka makanan." Pengikut-pengikut itu berkata lagi, "Pada kami hanya ada lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Tuan mahu kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini?" 14 Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok." 15 Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk. 16 Isa mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai. 17 Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.
Pengakuan Petrus tentang Isa
18 Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, "Mengikut orang ramai, siapakah Aku?" 19 Mereka menjawab, "Ada yang mengatakan Yahya Pembaptis, ada yang mengatakan Ilyas dan ada pula yang berkata bahawa salah seorang daripada nabi telah hidup semula." 20 Isa berkata kepada mereka, "Apa kata kamu: siapakah Aku pula?" Petrus menjawab, "Al Masih yang dijanjikan oleh Allah."
Isa menceritakan kisah penderitaan dan kematian-Nya
21
Dengan kerasnya Isa melarang mereka memaklumkan hal ini kepada
sesiapa pun; 22
dan menambah, "Anak Manusia itu mesti menderita banyak
sengsara dan ditentang oleh pemimpin-pemimpin bangsa Yahudi dan
ketua-ketua imam serta ahli-ahli Taurat. Dia akan dibunuh, dan
bangkit semula pada hari yang ketiga."
23
Isa berkata kepada semua, "Jikalau seseorang mahu mengikut
Aku, dia hendaklah melupakan kepentingan diri, memikul salibnya
setiap hari dan mengikut Aku. 24
Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya pula.
Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan
memeliharanya. 25
Apakah untungnya kepada seseorang jikalau dia memiliki seluruh
dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian belaka? 26
Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Anak Manusia juga
malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya
sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat
suci. 27
Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa ada beberapa orang yang
berdiri di sini yang tidak akan mengalami maut sebelum mereka
melihat kerajaan Allah."
Isa dipermulia
28 Kira-kira seminggu setelah Isa mengatakan perkara-perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yahya dan Yakub menaiki bukit untuk berdoa. 29 Semasa Isa berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan. 30 Tiba-tiba dua orang sedang bercakap dengan-Nya. 31 Mereka ialah Musa dan Ilyas yang kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dari syurga dan mereka bercakap dengan Isa tentang wafat-Nya, iaitu bagaimana Isa akan menyempurnakan kehendak Allah melalui wafat-Nya di Baitulmuqaddis. 32 Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Isa serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-sama dengan-Nya. 33 Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Isa, Petrus berkata kepada-Nya, "Tuan, betapa bahagianya kami berada di sini. Biarlah kami membuat tiga buah khemah; sebuah untuk Tuan, sebuah untuk Musa dan sebuah lagi untuk Ilyas." Sebenarnya, dia tidak mengetahui apa yang dikatakannya itu. 34 Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan. 35 Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, "Inilah Anak-Ku yang Aku pilih. Dengarlah kata-kata-Nya!" 36 Setelah suara itu berhenti, Isa kelihatan seorang sahaja. Pengikut-pengikut itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa juga tentang apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.
Isa menyembuhkan budak yang dirasuk roh jahat
37 Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan banyak orang bertemu dengan Isa. 38 Seorang antaranya berseru, "Guru, tolonglah anak saya kerana dia anak tunggal saya. 39 Dia dirasuk roh jahat dan tiba-tiba dia berteriak. Dia juga menghidap penyakit gila babi sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh jahat itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya. 40 Saya telah memohon pengikut-pengikut Tuan untuk mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya." 41 Isa menjawab, "Hai orang zaman ini yang tidak percaya dan yang sesat! Berapa lamakah Aku harus bersama-sama dengan kamu dan bersabar terhadap kamu? Bawalah anakmu itu ke mari." 42 Semasa dia datang, roh jahat itu mencampakkannya ke tanah lalu menggoncangkannya. Tetapi Isa menengking roh jahat itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya. 43 Semua orang tercengang akan kuasa dan kebesaran Allah.
Isa bercakap tentang kematian-Nya lagi
Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Isa, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 44 "Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini. Anak Manusia akan diserahkan ke tangan orang." 45 Mereka tidak mengetahui maksudnya kerana maksudnya tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Isa tentang perkara itu.
Siapakah yang terbesar?
46 Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar. 47 Isa mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia meminta seorang kanak-kanak untuk berdiri di sisi-Nya. 48 Isa berkata, "Sesiapa yang menerima kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menerima Aku; dan sesiapa yang menerima Aku menerima yang mengutus Aku. Sesiapa yang rendah sekali hatinya antara kamu semua, dialah yang terbesar!"
Yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu
49 Yahya berkata, "Tuan, kami telah melihat seorang yang mengusir roh jahat dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami." 50 Isa berkata kepadanya, "Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu."
Penduduk di sebuah kampung Samaria tidak menerima Isa
51 Tatkala waktunya sudah dekat untuk Isa diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Baitulmuqaddis. 52 Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Isa. 53 Tetapi orang Samaria tidak menerima Isa kerana Dia sedang menuju ke Baitulmuqaddis. 54 Ketika Yakub dan Yahya, pengikut-pengikut Isa melihat perkara ini, mereka berkata, "Tuan, adakah Tuan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?" 55 Isa berpaling dan memarahi mereka. 56 Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain.
Bakal-bakal pengikut Isa
57 Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Isa, "Saya hendak mengikut Tuan ke mana sahaja Tuan pergi." 58 Isa berkata kepadanya, "Serigala ada lubangnya dan burung ada sarangnya tetapi Anak Manusia tiada tempat untuk membaringkan kepalanya." 59 Isa berkata kepada seorang yang lain, "Ikutlah Aku." Tetapi dia menjawab,"Biarlah saya pergi mengebumikan jenazah bapa saya dahulu." 60 Isa berkata kepadanya, "Biarlah orang mati mengebumikan orang matinya; tetapi engkau pergilah menyampaikan perkhabaran tentang kerajaan Allah." 61 Seorang lain pula berkata, "Saya hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah saya pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluarga saya terlebih dahulu." 62 Isa berkata kepadanya, "Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah."