Moab
2
TUHAN berfirman, “Penduduk Moab sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka menghina raja Edom yang sudah mangkat dengan membakar tulangnya sehingga menjadi abu. Oleh itu, Aku akan mengirim api ke negeri Moab dan membakar kubu-kubu Keriot. Penduduk Moab akan mati di tengah-tengah keriuhan perang, sementara trompet dibunyikan dan pekik pertempuran diteriakkan oleh askar. Aku akan membunuh penguasa Moab dan semua pegawai kerajaan di sana.” +
Yehuda
TUHAN berfirman, “Penduduk Yehuda sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka melanggar perintah-Ku dan tidak mempedulikan ajaran-Ku. Mereka disesatkan oleh tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang mereka. Oleh itu, Aku akan mengirim api ke negeri Yehuda dan membakar kubu-kubu Yerusalem.”
Hukuman Allah atas Israel
TUHAN berfirman, “Umat Israel sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka menjual orang jujur sebagai abdi; orang jujur yang tidak dapat membayar hutang mereka. Demikian juga yang dilakukan mereka terhadap orang miskin yang tidak dapat membayar hutang, walaupun hutang itu hanya seharga sepasang selipar. Mereka menginjak-injak orang lemah yang tidak berdaya dan menyingkirkan orang miskin. Bapa dan anak lelakinya meniduri abdi perempuan yang sama, sehingga mencemarkan nama-Ku yang suci. Di setiap tempat ibadat, orang tidur dengan pakaian yang diambil daripada orang miskin sebagai jaminan hutang. Di Rumah Allah mereka, mereka minum wain yang diambil daripada orang yang berhutang kepada mereka.
Walaupun begitu, hai umat-Ku, bagi kamulah Aku membinasakan orang Amori yang setinggi pokok sedar dan sekuat pokok oak. + 10 Aku sudah membawa kamu keluar dari Mesir dan memimpin kamu melalui padang gurun selama 40 tahun. Aku sudah memberikan negeri orang Amori kepada kamu supaya menjadi negeri kamu sendiri. 11 Aku sudah memilih beberapa orang daripada anak lelaki kamu untuk menjadi nabi, dan beberapa orang muda kamu untuk menjadi orang Nazir.b Bukankah demikian, hai umat Israel? Aku, TUHAN, sudah berfirman. +
12 Tetapi kamu menyuruh orang Nazir minum wain, sehingga mereka mengingkari janji. Kamu juga melarang nabi-nabi menyampaikan perkhabaran-Ku. 13 Sekarang Aku akan menekan kamu sampai ke tanah, seperti kereta lembu yang sarat dengan muatan gandum. 14 Pelari yang pantas pun tidak akan dapat melarikan diri; orang kuat akan hilang kekuatan, dan pahlawan tidak dapat menyelamatkan diri. 15 Pemanah tidak akan dapat bertahan, pelari pantas tidak akan dapat melarikan diri, dan penunggang kuda tidak akan dapat menyelamatkan diri. 16 Pada hari itu askar yang paling berani pun akan meninggalkan senjata, lalu lari.” Demikianlah firman TUHAN.
+ 2:3 Yes 15.1—16.14, 25.10-12; Yer 48.1-47; Yeh 25.8-11; Zef 2.8-11 + 2:9 Ul 3.8-11 b 2:11 Nazir: Orang Israel yang mengabdi kepada Allah dan bernazar untuk tidak minum wain atau minuman keras, dan tidak memotong rambut atau menyentuh mayat. (Rujuk Bil 6.1-8). + 2:11 Bil 6.1-8