3
1 Hai umat Israel, dengarlah perkhabaran TUHAN tentang segenap bangsa kamu, yang sudah dibawa-Nya keluar dari Mesir. TUHAN berfirman,
2 “Daripada semua bangsa di dunia, kamulah satu-satunya bangsa yang Aku kenal dan pelihara. Itulah sebabnya dosa kamu besar, dan Aku mesti menghukum kamu.”
Tugas Nabi
3 Bolehkah dua orang berangkat bersama-sama tanpa berjanji untuk berjumpa lebih dahulu?
4 Adakah singa mengaum di hutan, jika belum mendapat mangsa?
Adakah anak singa mengaum di dalam lubangnya, jika belum menangkap apa-apa?
5 Bolehkah burung terjebak dalam perangkap, jika perangkap tidak berumpan?
Bolehkah perangkap membingkas jika tiada yang tertangkap?
6 Jika trompet tanda perang dibunyikan, tidakkah orang di kota ketakutan?
Bolehkah bencana menimpa sesuatu kota, jika TUHAN tidak mendatangkan bencana itu?
7 TUHAN Raja tidak pernah melakukan sesuatu pun tanpa menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya.
8 Apabila singa mengaum, siapakah tidak takut?
Apabila TUHAN Raja berfirman, siapakah dapat berdiam diri dan tidak mengisytiharkan perkhabaran-Nya?
Kejatuhan Samaria
9 Umumkanlah perkhabaran ini kepada orang yang tinggal di istana Mesir dan Asdod, “Berkumpullah di bukit-bukit di sekitar Samaria, dan lihatlah huru-hara serta jenayah yang berlaku di sana.”
10 TUHAN berfirman, “Penduduk Samaria mengisi rumah besar mereka dengan benda-benda yang diperoleh daripada kejahatan dan kekejaman. Mereka sama sekali tidak tahu berlaku jujur.
11 Oleh itu musuh akan mengepung negeri mereka, memusnahkan pertahanan, dan menjarah rumah besar mereka.”
12 TUHAN berfirman, “Seperti seorang gembala yang hanya mendapat sepasang kaki atau sepotong telinga dombanya yang diterkam oleh singa, demikian juga yang akan berlaku; hanya sedikit orang yang akan terselamat antara penduduk Samaria yang sekarang berbaring di atas tempat tidur yang serba mewah.”
13 TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman, “Sekarang dengarlah, dan berikanlah amaran kepada keturunan Yakub.
14 Pada hari Aku menghukum orang Israel kerana dosa mereka, Aku akan memusnahkan mazbah-mazbah di Betel. Setiap mazbah akan dipatahkan unjuran-unjurannya sehingga jatuh ke tanah.
15 Aku akan memusnahkan rumah musim sejuk dan rumah musim panas. Rumah yang dihias dengan gading akan roboh; semua rumah besar akan dimusnahkan.