Yakub Bersiap-siap untuk Bertemu dengan Esau
32
Yakub meneruskan perjalanannya. Kemudian malaikat-malaikat Allah datang berjumpa dengan dia. Apabila Yakub nampak malaikat-malaikat itu, dia berkata, “Ini perkhemahan Allah.” Oleh itu dia menamakan tempat itu Mahanaim.z
Selepas itu, Yakub menyuruh beberapa orang utusan berjalan mendahului dia ke negeri Edom untuk berjumpa dengan Esau, abangnya. Yakub berkata kepada mereka, “Katakanlah kepada abangku Esau begini, ‘Saya Yakub, hamba tuan. Selama ini saya telah tinggal bersama dengan Laban. Sekarang saya mempunyai lembu, keldai, domba, kambing, dan hamba. Saya mengirim khabar kepada tuan dengan harapan agar tuan akan baik hati kepada saya.’”
Apabila para utusan kembali kepada Yakub, mereka berkata, “Kami sudah menemui Esau, abang tuan. Sekarang dia dalam perjalanan ke sini untuk berjumpa dengan tuan. Dia datang bersama dengan empat ratus orang.” Setelah mendengar khabar itu, Yakub sangat ketakutan dan khuatir. Kemudian orang yang ada bersama dengan dia dibahaginya menjadi dua kumpulan. Demikian juga yang dilakukannya dengan domba, kambing, lembu, dan untanya. Dia berfikir, “Jika Esau datang dan menyerang kumpulan yang pertama, kumpulan yang kedua mungkin sempat menyelamatkan diri.”
Kemudian Yakub berdoa, “Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham dan bapaku Ishak, dengarlah aku! TUHAN sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku. Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku. 10 Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku, hamba-Mu. Pada masa aku berangkat menyeberangi Sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat. Sekarang aku datang kembali bersama dengan dua kumpulan ini. 11 Aku mohon, selamatkanlah aku daripada abangku, Esau. Aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua, termasuk wanita serta anak-anak. 12 Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberikan banyak keturunan kepadaku. Bilangan mereka akan sebanyak pasir di pantai, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka.” +
13-15 Setelah bermalam di situ, Yakub mengambil sebilangan daripada binatang ternakannya untuk dihadiahkan kepada Esau. Hadiah itu berupa: 200 ekor kambing betina, 20 ekor kambing jantan, 200 ekor domba betina, 20 ekor domba jantan, 30 ekor unta yang sedang menyusui anak unta, 40 ekor lembu betina, 10 ekor lembu jantan, 20 ekor keldai betina, dan 10 ekor keldai jantan. 16 Semua binatang itu dibahaginya menjadi beberapa kawanan, lalu setiap kawanan diserahkannya kepada seorang hamba. Dia berkata kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku, dan pastikan ada jarak di antara kawanan yang satu dengan kawanan yang berikutnya.” 17 Yakub memberikan arahan kepada hamba yang pertama, “Jika abangku Esau bertemu denganmu, dan bertanya, ‘Siapakah tuanmu? Hendak ke mana? Siapakah pemilik ternakan yang kamu giring itu?’ 18 Jawablah, ‘Milik Yakub, hamba tuan. Dia mengirim kawanan ini sebagai hadiah kepada Esau, tuannya. Yakub, hamba tuan, sedang menyusul kami.’” 19-20 Yakub memberikan arahan yang sama kepada hambanya yang kedua, ketiga, dan semua orang yang ditugaskan untuk mengurus segala kawanan binatang itu. Yakub berfikir bahawa dia dapat membujuk Esau dengan hadiah-hadiah itu, dan apabila bertemu nanti, Esau mungkin akan memaafkan dia. 21 Oleh itu dia mengirimkan hadiah-hadiah itu lebih dahulu, sedangkan dia sendiri bermalam di perkhemahan.
Yakub Bergomol di Peniel
22 Pada malam itu juga Yakub bangun lalu membawa dua orang isterinya, dua orang gundiknya dan sebelas orang anaknya, menyeberang Sungai Yabok. 23 Setelah Yakub menyeberangkan mereka, dia kembali dan mengirim juga segala miliknya ke seberang. 24 Tetapi dia tinggal di situ seorang diri.
Kemudian datanglah seorang lelaki bergomol dengan Yakub sampai menjelang pagi. 25 Apabila orang itu berasa tidak akan menang dalam pergomolan itu, dia memukul pinggul Yakub sehingga sendinya terkehel. 26 Orang itu berkata, “Lepaskanlah aku; sebentar lagi matahari akan terbit.” +
Yakub menjawab, “Saya tidak akan melepaskan tuan, kecuali tuan memberkati saya.”
27 “Siapa namamu?” tanya orang itu.
“Yakub,” jawabnya.
28 Orang itu berkata, “Namamu bukan Yakub lagi. Engkau telah bergomol dengan Allah serta manusia, dan engkau sudah menang; kerana itu sekarang namamu Israel.”a +
29 Yakub berkata, “Sekarang beritahulah saya nama tuan.”
Tetapi orang itu menjawab, “Tidak perlu engkau mengetahui namaku!” Kemudian dia memberkati Yakub. +
30 Yakub berkata, “Aku sudah bertemu muka dengan Allah dan aku masih hidup.” Oleh itu dia menamakan tempat itu Peniel.b 31 Pada waktu matahari terbit, Yakub meninggalkan Peniel. Dia pincang kerana sendi pinggulnya terkehel. 32 Sampai sekarang keturunan Israel tidak makan daging yang menutupi sendi pinggul binatang, kerana Yakub kena pukul pada pinggulnya.
z 32:2 Mahanaim: Dalam bahasa Ibrani, nama ini bermakna “dua perkhemahan”. + 32:12 Kej 22.17 + 32:26 Hos 12.3-4 a 32:28 Israel: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “dia bergomol dengan Allah”, atau “Allah bergomol”. + 32:28 Kej 35.10 + 32:29 Kej 13.17-18 b 32:30 Peniel: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “wajah Allah”.