Yakub Bertemu dengan Esau
33
Yakub nampak Esau datang dengan empat ratus orang anak buahnya. Oleh sebab itu dia membahagikan anak-anaknya antara Lea, Rahel, dan kedua-dua orang gundiknya. Dia menempatkan dua orang gundiknya itu bersama dengan anak-anak mereka di hadapan sekali, kemudian Lea bersama dengan anak-anaknya, lalu Rahel dan Yusuf di belakang sekali. Yakub berjalan di hadapan mereka semua, dan sambil menghampiri abangnya, dia sujud sampai tujuh kali. Tetapi Esau berlari mendapatkan Yakub, lalu memeluk dan mencium dia. Kedua-dua mereka bertangis-tangisan. Ketika Esau nampak semua wanita dan anak-anak itu, dia bertanya, “Siapakah mereka yang ada bersama-samamu ini?”
Yakub menjawab, “Mereka itu anak-anak yang dikurniakan Allah kepada saya.” Kemudian kedua-dua orang gundiknya maju dengan anak-anak mereka, lalu bersujud. Kemudian Lea serta anak-anaknya datang, dan akhir sekali Yusuf dan Rahel datang, lalu bersujud.
Esau bertanya, “Apakah maksudmu dengan rombongan-rombongan yang saya jumpai tadi?”
Yakub menjawab, “Untuk menyenangkan hati abang.”
Tetapi Esau berkata, “Harta saya sudah cukup. Adik tidak perlu memberikan hadiah kepada saya.”
10 Yakub berkata, “Jika saya menyenangkan hati abang, terimalah hadiah saya itu. Bagi saya, melihat wajah abang sama dengan melihat wajah Allah kerana abang begitu ramah kepada saya. 11 Saya mohon, terimalah hadiah yang saya bawa itu. Allah sangat baik kepada saya dan memberikan segala sesuatu yang saya perlukan.” Yakub terus-menerus mendesaknya sampai akhirnya Esau menerima hadiah itu.
12 Kemudian Esau berkata, “Marilah kita bersiap-siap untuk berangkat. Saya akan berjalan bersama-sama kamu.”
13 Yakub menjawab, “Abang tahu bahawa anak-anak ini lemah, dan saya harus berhati-hati dengan semua ternakan yang sedang menyusui anak. Jika digiring dengan cepat-cepat, walaupun hanya satu hari, semua kawanan binatang itu akan mati. 14 Berjalanlah lebih dahulu, lalu saya akan mengikut dengan perlahan-lahan. Saya akan berjalan secepat mungkin bersama dengan ternakan dan anak-anak saya, sampai dapat menyusul abang di Edom.”
15 Esau berkata, “Jika begitu, baiklah saya tinggalkan beberapa orang anak buah saya dengan kamu.”
Tetapi Yakub menjawab, “Tidak usahlah bersusah-susah. Saya hanya ingin menyenangkan hati abang.”c 16 Maka pada hari itu Esau berangkat kembali ke Edom. 17 Tetapi Yakub pergi ke Sukot, lalu mendirikan rumahnya dan tempat berteduh bagi ternakannya. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Sukot.d
18 Dalam perjalanannya dari Mesopotamia, Yakub sampai di kota Sikhem di negeri Kanaan dengan selamat. Di situ dia memasang khemahnya di padang dekat kota. 19 Padang tempat perkhemahannya itu dibelinya daripada orang keturunan Hamor, bapa Sikhem, dengan harga 100 keping wang perak. + 20 Kemudian dia membina sebuah mazbah di situ dan menamakannya “Allah Israel ialah Allah”.
c 33:15 Saya hanya ingin menyenangkan hati abang; atau Jika abang tidak berkeberatan. d 33:17 Sukot: Dalam bahasa Ibrani, nama ini bermakna “tempat berteduh”. + 33:19 Yos 24.32; Yoh 4.5