YUNUS
Kata Pengantar
Kitab Yunus berbeza daripada kitab-kitab nabi yang lain di dalam Alkitab kerana kitab ini menceritakan pengalaman Nabi Yunus ketika dia cuba membantah perintah Allah. Allah menyuruh dia pergi ke kota Niniwe, ibu kota kerajaan Asyur, musuh Israel. Tetapi Yunus tidak mahu pergi ke kota itu untuk menyampaikan perkhabaran Allah, kerana Yunus yakin bahawa jika orang Niniwe berhenti berbuat dosa, Allah tidak akan melaksanakan rancangan-Nya untuk menghancurkan kota itu. Akhirnya, selepas beberapa peristiwa yang mengesankan, Yunus mentaati perintah Allah. Tetapi kemudian Yunus bersungut kerana Niniwe tidak dihancurkan.
Kitab Yunus menggambarkan kemutlakan kuasa Allah terhadap ciptaan-Nya. Tetapi terlebih pula, kitab ini menggambarkan Allah sebagai Allah yang penyayang dan berbelas kasihan; Allah yang lebih suka mengampuni dan menyelamatkan suatu bangsa daripada menghukum dan menghancurkannya, walaupun bangsa itu musuh umat-Nya sendiri.
Kandungan
Yunus Dipanggil tetapi Dia Tidak Taat 1.1-17
Yunus Menyesal dan Diselamatkan 2.1-10
Perkhabaran yang Disampaikan Yunus kepada Niniwe 3.1-10
Pengampunan Allah kepada Niniwe 4.1-11
Yunus Membantah Perintah TUHAN
1
Pada suatu hari, TUHAN berfirman kepada Yunus anak Amitai. + Dia berfirman, “Pergilah ke Niniwe, kota besar itu, dan kecamlah penduduknya. Aku tahu bahawa penduduknya sangat jahat.” Tetapi Yunus pergi ke arah lain untuk menjauhi TUHAN. Yunus pergi ke Yope, dan mendapati kapal yang akan belayar ke Sepanyol. Setelah membayar wang tambang, Yunus naik kapal; dia belayar bersama dengan anak-anak kapal ke Sepanyol, supaya dia dapat menjauhkan diri daripada TUHAN. 4-5 Yunus turun ke tempat yang paling bawah dan berbaring di situ, lalu dia tertidur dengan nyenyak.
Kemudian TUHAN mendatangkan angin kencang ke laut, lalu terjadilah angin ribut yang dahsyat, yang memukul kapal itu sehingga hampir hancur. Anak-anak kapal sangat takut dan berteriak-teriak minta tolong, masing-masing kepada dewa mereka sendiri. Mereka membuang muatana kapal itu ke dalam laut untuk mengurangi bahaya.b
Apabila kapten kapal itu turun ke bawah, dia menjumpai Yunus sedang tidur di situ. Kapten itu berkata, “Bagaimana engkau dapat tidur dalam keadaan begini? Bangunlah! Berdoalah minta tolong kepada dewamu. Mungkin dia akan mengasihani kita, dan kita tidak akan binasa.”
Setelah Yunus dan kapten kapal itu naik ke atas, para anak kapal berkata sesama sendiri, “Marilah kita buang undi supaya kita tahu siapa yang bersalah, sehingga kita ditimpa bencana ini!” Mereka membuang undi, lalu Yunus yang kena undi. Mereka berkata kepada Yunus, “Betulkah engkau yang menyebabkan bencana ini? Engkau dari mana dan bangsa apa? Mengapa engkau berada di sini?”
Yunus menjawab, “Aku orang Ibrani. Aku menyembah TUHAN, Allah di syurga, yang mencipta laut dan darat.” 10 Kemudian Yunus menceritakan bahawa dia melarikan diri daripada TUHAN.
Mendengar hal itu para anak kapal menjadi lebih takut lagi, dan berkata kepadanya, “Perbuatanmu itu sungguh dahsyat!”c 11 Sementara itu angin ribut semakin kencang, lalu para anak kapal bertanya kepada Yunus, “Apakah yang harus kami lakukan kepadamu supaya angin ribut ini reda?”
12 Yunus menjawab, “Buanglah aku ke dalam laut, lalu angin ribut tentu akan reda. Aku tahu bahawa akulah yang menyebabkan angin ribut yang dahsyat ini menimpa kamu semua.”
13 Tetapi para anak kapal masih berusaha sedaya mungkin untuk mendayung kapal itu ke daratan. Namun angin ribut makin mengamuk juga, sehingga usaha mereka sia-sia belaka. 14 Oleh itu mereka berseru kepada TUHAN, “Ya TUHAN, kami mohon, janganlah binasakan kami kerana mengambil nyawa orang yang tidak melakukan kesalahan apa-apa pun terhadap kami. Ya TUHAN, Engkaulah yang bertanggungjawab atas semua hal ini; inilah perbuatan-Mu.” 15 Kemudian mereka melemparkan Yunus ke dalam laut, lalu angin ribut berhenti mengamuk dengan serta-merta. 16 Para anak kapal itu menjadi sangat takut akan TUHAN. Mereka mempersembahkan korban kepada TUHAN dan bernazar kepada-Nya.
17 Sementara itu, TUHAN menyuruh seekor ikan besar untuk menelan Yunus. Oleh itu Yunus tinggal di dalam perut ikan selama tiga hari dan tiga malam. +
+ 1:1 2 Raj 14.25 a 1:4-5 muatan; atau peralatan. b 1:4-5 mengurangi bahaya; atau meringankan kapal. c 1:10 dan berkata...dahsyat!; atau dan bertanya kepadanya, “Mengapa engkau melarikan diri?” + 1:17 Mat 12.40