Doa Yunus
2
1 Dari dalam perut ikan itu, Yunus berdoa kepada TUHAN, Allahnya. Dia berkata,
2 “Ya TUHAN, dalam kesusahanku aku berseru kepada-Mu,
dan Engkau menjawab aku.
Dari dunia orang mati aku mohon pertolongan,
permohonanku Engkau dengar dan perhatikan.
3 Engkau melemparkan aku ke tempat yang dalam,
sampai ke dasar lautan.
Di sana arus air mengelilingi aku,
ombak dan gelombang yang Engkau datangkan
menghempaskan aku.
4 Aku berfikir bahawa
Engkau sudah menghalau aku dari hadirat-Mu,
dan aku tidak akan melihat lagi
rumah kediaman-Mu yang suci.
5 Air laut naik sampai ke bibirku,
samudera raya meliputi seluruh tubuhku,
rumpai laut melilit kepalaku.
6-7 Aku turun sampai ke dasar pergunungan,
ke alam yang gerbangnya terkunci sehingga selama-lamanya.
Ketika nyawaku hampir pergi daripada diriku,
aku ingat akan TUHAN,
lalu aku berseru kepada-Mu.
Engkau, ya TUHAN, mendengarkan doaku,
di Rumah-Mu yang suci Engkau mendengarkan aku.
Dari laut yang dalam,
Engkau menyelamatkan aku,
ya TUHAN Allahku!
8 Para penyembah berhala yang sia-sia,
meninggalkan Engkau dan tidak lagi setia.
9 Tetapi aku akan menyanyikan puji-pujian bagi-Mu
dan aku akan mempersembahkan korban untuk-Mu.
Aku akan menunaikan segala janjiku.
Engkaulah TUHAN yang menyelamatkan.”
10 Kemudian, atas perintah TUHAN, ikan itu memuntahkan Yunus ke daratan.