124
Allah Pelindung Umat-Nya
Lagu ziarah oleh Daud.
Bagaimanakah keadaannya jika TUHAN tidak memihak kita?
Jawablah, hai Israel!
“Jika TUHAN tidak memihak kita,
ketika musuh menyerang kita,
tentu mereka sudah menelan kita hidup-hidup
kerana kemarahan mereka menyala-nyala;
tentu kita sudah dihanyutkan banjir,
dan kita digenangi air;
tentu kita sudah mati lemas
dalam air yang deras.”
Marilah kita bersyukur kepada TUHAN,
yang tidak membiarkan musuh membinasakan kita.
Kita seperti burung yang lepas dari jerat pemburu;
jerat itu sudah dirosakkan dan kita pun bebas!
Pertolongan kita datang daripada TUHAN,
yang menjadikan langit dan bumi.