Yesus Memanggil Pengikut-Nya yang Mula-Mula
(Mat 4.18-22; Mrk 1.16-20)
5
1 Pada suatu waktu, sedang Yesus berdiri di pantai Tasik Genesaret, orang ramai berasak-asak hendak mendengar berita daripada Allah.
2 Yesus nampak dua buah perahu di pantai itu, tetapi nelayan sudah meninggalkan perahu dan sedang mencuci jala.
3 Yesus menaiki salah sebuah perahu itu, iaitu perahu Simon. Lalu Dia menyuruh Simon menolak perahu itu sedikit jauh dari pantai. Yesus duduk di perahu itu, lalu mengajar orang ramai.
4 Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam lalu tebarkanlah jala untuk menangkap ikan.”
5 “Guru,” jawab Simon, “sepanjang malam kami berjerih tetapi tidak menangkap apa-apa pun! Tetapi kerana guru yang menyuruh, baiklah, saya akan menebarkan jala.”
6 Mereka menebarkan jala, lalu mendapat sedemikian banyak ikan sehingga jala itu hampir koyak.
7 Oleh itu mereka minta pertolongan rakan-rakan di perahu lain. Mereka memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu hampir tenggelam.
8 Apabila Simon nampak apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus sambil berkata, “Tinggalkanlah aku, ya Tuhan! Aku orang berdosa!”
9 Simon dan semua orang yang bersama-sama dia kagum melihat banyaknya ikan yang dijala oleh mereka.
10 Demikian juga halnya dengan rakan Simon yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Yesus berkata kepada Simon, “Jangan takut! Mulai sekarang kamu akan menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.”
11 Mereka menarik perahu-perahu itu ke pantai dan meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus.
Yesus Menyembuhkan Seorang Berpenyakit Kulit yang Mengerikan
(Mat 8.1-4; Mrk 1.40-45)
12 Pada suatu hari, Yesus berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika dia nampak Yesus, dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon, “Tuan, jika tuan mahu, tuan boleh menyembuhkan saya!”
13 Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia. “Aku mahu,” kata-Nya, “sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi.
14 Yesus memerintah dia, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun. Pergilah temui imam supaya dia mengesahkan kesembuhanmu. Lalu persembahkanlah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu sudah sembuh.”
15 Tetapi berita tentang Yesus semakin tersebar luas. Banyak orang datang untuk mendengar Dia dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka.
16 Tetapi Yesus pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa.
Yesus Menyembuhkan Seorang Lumpuh
(Mat 9.1-8; Mrk 2.1-12)
17 Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, beberapa orang Farisi dan guru Taurat duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem, dari semua kota di Galilea dan Yudea. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang sakit.
18 Pada waktu itu, beberapa orang datang membawa seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar. Mereka cuba membawa dia ke dalam rumah supaya dapat meletakkannya di hadapan Yesus.
19 Tetapi kerana orang di situ terlalu banyak, mereka tidak dapat membawa dia masuk. Oleh itu mereka membawa dia ke atas bumbung rumah. Kemudian mereka membuka bumbung rumah itu dan menurunkan dia dengan tikarnya di hadapan Yesus di tengah-tengah orang ramai itu.
20 Apabila Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang itu, “Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.”
21 Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!”
22 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian?
23 Manakah yang lebih mudah, mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’?
24 Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa untuk mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!”
25 Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah.
26 Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, “Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!”
Yesus Memanggil Lewi
(Mat 9.9-13; Mrk 2.13-17)
27 Setelah itu Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.”
28 Lewi berdiri, meninggalkan semuanya, lalu mengikut Yesus.
29 Kemudian Lewi mengadakan jamuan besar di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang lain makan bersama-sama mereka.
30 Beberapa orang Farisi dan guru Taurat bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Yesus. Mereka bertanya, “Mengapa kamu makan dan minum bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?”
31 Yesus menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor, hanya orang sakit.
32 Aku datang bukan untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang berdosa supaya mereka bertaubat daripada dosa.”
Pertanyaan tentang Puasa
(Mat 9.14-17; Mrk 2.18-22)
33 Beberapa orang berkata kepada Yesus, “Pengikut Yohanes dan pengikut orang Farisi kerap kali berpuasa dan berdoa. Tetapi pengikut-Mu makan dan minum.”
34 Yesus menjawab, “Dapatkah kamu menyuruh tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak!
35 Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka akan berpuasa.”
36 Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, “Tidak ada orang yang menampal pakaian lama dengan secebis kain daripada pakaian baru. Jika dia berbuat demikian, dia akan merosakkan pakaian baru itu; lagi pula kain penampal yang baru itu tidak berpadan dengan pakaian lama.
37 Demikian juga tiada seorang pun menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain baru itu akan memecahkan kirbat itu. Wain itu terbuang dan kirbat itu pun rosak.
38 Wain baru mesti dituang ke dalam kirbat kulit baru!
39 Tidak seorang pun mahu minum wain baru setelah minum wain tua. ‘Wain tua lebih baik,’ katanya.”