Pertanyaan tentang Hari Sabat
(Mat 12.1-8; Mrk 2.23-28)
6
Pada suatu hari Sabat, ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum. Mereka menggosoknya dengan tangan, lalu memakannya. + Beberapa orang Farisi berkata, “Mengapa kamu melakukan apa yang dilarang oleh Taurat kita pada hari Sabat?”
Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Dia masuk ke dalam Khemah Allah dan mengambil roti yang telah dipersembahkan kepada Allah, lalu memakannya. Kemudian dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya. Tetapi menurut Taurat kita, tidak sesiapa pun boleh makan roti itu kecuali para imam.” + +
Lalu Yesus berkata, “Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat!”
Orang yang Tangannya Lumpuh Sebelah
(Mat 12.9-14; Mrk 3.1-6)
Pada hari Sabat yang lain, Yesus pergi mengajar di rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi sedang mencari kesalahan Yesus supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia baik-baik sama ada Dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Berdirilah dan marilah ke depan.” Orang itu bangun lalu berdiri di situ. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Aku hendak bertanya: Menurut Taurat apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakannya?” 10 Yesus memandang mereka semua, lalu berkatag kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya, lalu tangannya pun sembuh.
11 Tetapi mereka sangat marah dan mula berunding sesama sendiri tentang apa yang boleh dilakukan oleh mereka terhadap Yesus.
Yesus Memilih Dua Belas Orang Rasul
(Mat 10.1-4; Mrk 3.13-19)
12 Pada masa itu Yesus naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Di situ Dia berdoa kepada Allah semalam-malaman. 13 Apabila hari sudah terang, Dia memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu memilih dua belas orang daripada mereka. Yesus menamakan dua belas orang itu rasul. Mereka terdiri daripada 14 Simon (yang juga disebut-Nya Petrus) dan adiknya Andreas; Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus, 15 Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus dan Simon (yang disebut Patriot), 16 Yudas anak Yakobus dan Yudas Iskariot yang kelak menjadi pengkhianat.
Yesus Mengajar dan Menyembuhkan Orang
(Mat 4.23-25)
17 Apabila Yesus turun dari bukit bersama-sama rasul-rasul itu, Dia berdiri di tempat yang rata dengan sebilangan besar pengikut-Nya. Di situ juga ada orang ramai yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, kota Tirus dan Sidon yang di tepi laut. 18 Mereka datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh jahat juga datang dan disembuhkan. 19 Semua orang cuba menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua.
Kegembiraan dan Kedukaan
(Mat 5.1-12)
20 Yesus memandang semua pengikut-Nya lalu berkata,
“Berbahagialah kamu yang miskin;
kerana kamu menikmati Pemerintahan Allah!E
21 Berbahagialah kamu yang lapar sekarang;
kamu akan dikenyangkan!
Berbahagialah kamu yang menangis sekarang;
kamu akan tertawa!
22 Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia! + 23 Demikian jugalah nenek moyang mereka memperlakukan nabi-nabi. Bersukacitalah apabila hal itu berlaku, dan menarilah dengan gembira, kerana pahala yang besar tersedia untuk kamu di syurga. +
24 Tetapi malanglah kamu yang kaya sekarang ini,
kerana kamu telah mengalami kenikmatan hidup!
25 Malanglah kamu yang kenyang sekarang ini,
kerana kamu akan kelaparan!
Malanglah kamu yang tertawa sekarang ini,
kerana kamu akan berdukacita dan menangis!
26 Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana demikian juga nenek moyang mereka memuji nabi-nabi palsu.”
Kasih terhadap Musuh
(Mat 5.38-48, 7.12a)
27 “Tetapi Aku berkata kepada kamu yang mendengarkan Aku: Kasihilah musuh kamu dan berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu. 28 Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu. 29 Jika seseorang menampar pipi kamu yang sebelah, biarkan dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang merampas jubah kamu, berikanlah baju kamu juga. 30 Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikan apa yang dimintanya; jika seseorang merampas milik kamu, janganlah minta kembali barang itu. 31 Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. +
32 Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu menerima pujian? Tentu tidak! Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka! 33 Jika kamu berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada kamu, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun berbuat demikian! 34 Jika kamu memberikan pinjaman kepada orang yang dapat mengembalikannya, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun memberikan pinjaman kepada orang berdosa, lalu memintanya kembali! 35 Bukan demikian! Hendaklah kamu mengasihi musuh kamu dan berbuat baik kepada bermereka. Berikan pinjaman dan jangan harap pinjaman itu dikembalikan. Lalu kamu akan mendapat pahala besar dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi. Allah baik kepada orang yang tidak tahu berterima kasih dan orang jahat. 36 Hendaklah kamu berbelas kasihan seperti Bapa kamu berbelas kasihan juga!”
Menghakimi Orang
(Mat 7.1-5)
37 “Janganlah hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. Janganlah hukum orang lain, supaya Allah tidak menghukum kamu juga. Ampunilah orang lain, supaya Allah mengampuni kamu juga. 38 Apa yang kamu berikan kepada orang lain, Allah juga akan memberikannya kepada kamu. Allah akan mencurahi kamu pemberian yang berlimpah-limpah. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu.”
39 Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, “Jika seorang buta memimpin seorang buta yang lain, maka kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang. + 40 Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya. Apabila murid itu selesai belajar, dia menjadi sama seperti gurunya. +
41 Mengapakah kamu memperhatikan selumbar di dalam mata saudara kamu, tetapi tidak memperhatikan kayu balak di dalam mata kamu sendiri? 42 Bagaimana mungkin kamu berkata kepada saudara kamu, ‘Maaf, saudara, biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak di dalam mata kamu sendiri tidak kamu lihat? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari mata kamu sendiri. Barulah kamu dapat melihat dengan jelas dan mengeluarkan selumbar dari mata saudara kamu.”
Pokok dan Buahnya
(Mat 7.16-20, 12.33-35)
43 “Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik. 44 Setiap pokok dikenal daripada buahnya. Kamu tidak memetik buah ara dari belukar berduri, ataupun buah anggur dari semak-semak. + 45 Orang baik mengeluarkan perkara-perkara baik kerana hati mereka berlimpah-limpah dengan kebaikan. Tetapi orang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hati mereka penuh kejahatan. Orang mengucapkan perkara yang terkandung di dalam hati.” +
Pembina Rumah yang Pandai dan yang Bodoh
(Mat 7.24-27)
46 “Mengapa kamu memanggil Aku, ‘Tuhan, Tuhan,’ tetapi tidak menurut kata-kata-Ku? 47 Beginilah keadaan setiap orang yang datang kepada-Ku dan mendengar kata-kata-Ku serta melakukannya. 48 Dia seperti pembina rumah yang menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah pada batu. Air sungai melimpah dan melanda rumah itu, tetapi tidak dapat menggoncangkannya, kerana asas rumah itu dibina dengan teguh. 49 Tetapi orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak melakukannya, seperti orang yang membina rumah tanpa asas. Ketika banjir melanda, rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan itu!”
+ 6:1 Ul 23.25 + 6:4 1 Sam 21.1-6 + 6:4 Im 24.9 g 6:10 berkata; Beberapa buah naskhah kuno: berkata dengan marah. E 6:20 Pemerintahan Allah; Harfiah: Kerajaan Allah. + 6:22 1 Ptr 4.14 + 6:23 2 Taw 36.16; Kis 7.52 + 6:31 Mat 7.12 + 6:39 Mat 15.14 + 6:40 Mat 10.24-25; Yoh 13.16, 15.20 + 6:44 Mat 12.33 + 6:45 Mat 12.34